~kucing jejas kehamilan~

Januari 11, 2007

Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kandungan. Ia berkait dengan sejenis parasit iaitu protozoa Toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan tanah.

Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui – toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kepada bayi di alam kandungan.

Ibu yang mengandung boleh mendapat jangkitan apabila menyentuh najis kucing. Jangkitan ini boleh juga timbul akibat memakan masakan yang tidak dimasak dengan sempurna.

Wanita yang mula-mula mendapat jangkitan toksoplasmosis semasa mengandung mempunyai lebih kurang 40 peratus peluang memindahkan jangkitan tersebut kepada bayi di dalam kandungannya.

Apabila ibu dijangkiti dalam trimester (kehamilan berusia tiga bulan) pertama, sebanyak 15 peratus daripada bayi mereka turut dijangkiti berbanding 30 peratus semasa trimester kedua dan 60 peratus trimester ketiga.

Kesan akibat jangkitan adalah lebih teruk jika ia berlaku di peringkat awal mengandung. Adalah dianggarkan, satu dalam 10 daripada bayi yang dijangkiti mengalami toksoplasmosis yang teruk.

Mereka mendapat jangkitan mata yang boleh menyebabkan buta, pembengkakan hati dan limpa, penyakit kuning dan jangkitan paru- paru. Sebahagian mereka mengalami kehilangan deria pendengaran.

Janin yang mengalami jangkitan toksoplasmosis yang terlalu teruk boleh meninggal dunia semasa dalam kandungan atau ibu mengalami keguguran. Jika dilahirkan hidup, mereka akan menderita kecacatan otak seperti palsi serebral dan sawan.

Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi yang mengesahkan jangkitan ini.

Jika ibu disahkan mendapat jangkitan, ujian lanjutan seperti amniosentesis dan ultrasound dilakukan untuk memastikan sama ada bayi dalam kandungan juga telah dijangkiti.

Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti, agar gejala-gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan. Rawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan.

Sebaliknya, jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar bayi-bayi yang tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan tidak akan tercicir daripada menerima rawatan khusus, jika mereka sebenarnya juga telah dijangkiti.

Ini kerana mereka mungkin dianggap sihat sehinggalah mereka mendapat jangkitan mata dan sebagainya setelah berusia beberapa bulan mahu pun beberapa tahun selepas dilahirkan.

Oleh kerana toksoplasmosis merupakan penyakit jangkitan yang boleh menjejaskan kesihatan bayi dengan serius, langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden ia berlaku. Antaranya:

* Membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan
* Mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna dimasak
* Membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak sebelum dimakan
* Menggunakan sarung tangan semasa berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan daripada menyentuh najis kucing.

Sebaik-baiknya, elakkanlah daripada membela kucing semasa mengandung, tetapi jika ini amat sukar untuk dilakukan, hendaklah berhati-hati dan mempraktikkan langkahlangkah pencegahan seperti di atas agar risiko jangkitan berada pada tahap minimum.

Soalan dijawab oleh Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Kamsuraini Ibrahim.

Sumber:Utusan Malaysia


~soaljawab: hidap sawan hamil~

Januari 8, 2007

Hanya sekadar panduan untuk kaum wanita.

Pakar Sakit Puan bersama DR ADILAH AHMAT, Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan, Pusat Rawatan Islam, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

SOALAN

Isteri saya hamil anak kami yang kedua. Ketika pemeriksaan di klinik, jururawat mengatakan isteri saya ada tanda sawan mengandung.

Apakah yang dimaksudkan dengan sawan mengandung? Bagaimana cara untuk mengatasinya?

Mengenai isteri saya, dia mula hamil dengan berat badan 45 kilogram (kg). Selepas alahan tiga bulan, beratnya menurun kepada 39 kg. Kemudian, beratnya naik semula dua kilogram setiap bulan dan kini, kandungannya mencapai tujuh bulan dan berat isteri saya 51 kg.

Jururawat menyatakan berat isteri saya naik mendadak justeru dia menyarankan isteri saya mengurangkan berat badan. Jika tidak, kemungkinan isteri saya akan mengalami kekejangan ketika melahirkan anak.

Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

SUAMI RISAU,
Ipoh, Perak.

JAWAPAN

Sawan mengandung (eklampsia) sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi. Risiko ini lebih kepada ibu yang kali pertama hamil, ibu yang pernah mengalami penyakit darah tinggi sewaktu kehamilan terdahulu atau ibu yang hamil kali pertama dengan suami baru.

Penyakit darah tinggi termasuk dalam kehamilan berisiko tinggi dan sawan mengandung adalah suatu yang serius.

Bagi wanita yang mempunyai berat badan 45 kg sebelum hamil, penambahan berat badan sebanyak 11 hingga 12 kg sepanjang kehamilan adalah sesuatu yang normal.

Sewaktu trimester pertama (tiga bulan pertama kehamilan), berat badan wanita hamil boleh menurun akibat kurang selera makan serta muntah-muntah. Memasuki trimester kedua (bulan keempat) dan seterusnya, berat badan wanita hamil semakin pulih dan dijangka bertambah sekitar setengah kg setiap minggu (iaitu dua kg setiap bulan).

Pemeriksaan antenatal seharusnya dilakukan mengikut jadual iaitu setiap empat minggu sehingga kandungan berusia 28 minggu (enam setengah bulan), kemudian setiap dua minggu sehingga kandungan berusia 36 minggu (lapan setengah bulan) dan seterusnya setiap minggu sehingga bersalin.

Sewaktu lawatan ini, kehadiran protein dalam air kencing serta pengambilan tekanan darah juga dilakukan, ia dikaitkan dengan penyakit darah tinggi. Pemeriksaan selanjutnya akan dilakukan jika kedua-duanya tidak normal.

Ini termasuk pemeriksaan tekanan darah secara lebih kerap, ujian darah, ujian air kencing terkumpul 24 jam dan seumpamanya. Bagi janin, ultrabunyi dilakukan bagi mengesan kadar pembesaran janin, kekurangan air ketuban serta gangguan aliran darah melalui tali pusat.

Wanita yang mengalami penyakit ini lazimnya turut mengalami penambahan berat badan berlebihan namun ia tidak semestinya. Sawan mengandung juga didapati pada wanita berbadan kurus. Berat badan tidak menyebabkan penyakit darah tinggi, menurunkan berat badan juga tidak mengurangkan tekanan darah.

Isteri anda dinasihati menjalani pemeriksaan antenatal secara dijadualkan bagi mengesan penyakit berkaitan.

Sumber: Forwarded Email