~emosi kanak-kanak tak sama~

Disember 20, 2006

Ibu bapa perlu membimbing, fahami perasaan anak ketika usia semakin meningkat supaya pemikiran tidak terganggu

Kehadiran anak dalam sebuah perkahwinan memberikan makna besar kepada insan bergelar ibu dan bapa. Permata hati disambut riang gembira. Saban hari bertukar ganti, daripada telapak kaki sebesar dua jari hingga ke pandai ‘berdiri sendiri’, ibu bapa kadang kala terasa semakin jauh dengan anak yang dilahirkan.
Senario seperti ini bukan perkara baru, malah segelintir ibu bapa sendiri mengakui, semakin anak itu membesar, semakin sukar dikawal pergerakan mereka. Seorang teman menyebut ‘kalau masih kecil, bolehlah dipukul, ditampar, tapi bila sudah besar, dia pula yang memukul aku nanti’.

Realitinya bayi yang lahir ke dunia ini diciptakan memiliki emosi yang tidak sama. Ibu bapa tidak boleh menyangka sekiranya perangainya baik, maka anaknya akan mengikut perangai yang serupa. Sedikit sebanyak mungkin ada benarnya kerana pendidiknya adalah kita sebagai ibu bapa.

Tetapi pengaruh luaran kadangkala memberikan impak lebih besar kepada anak itu nanti. Sebab itulah mendidik anak perlu dilakukan mengikut zaman mereka berada, dan tidak sesuai mengamalkan didikan ‘zaman dulu’ kepada anak zaman ini.

Bagaimanapun, ramai pakar kanak-kanak bersetuju, andai emosi anak ditangani dengan baik sejak kecil, pergerakan mereka ‘lebih mudah dikawal’, umpama menekan alat kawalan jauh. Emosi yang stabil membantu melahirkan anak lebih cemerlang, emosi yang terganggu pula melahirkan anak sebaliknya.

Emosi dikaitkan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam kehidupan seseorang. Ia menunjukkan pelbagai aspek termasuk negatif atau positif, kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat dan perancangan.

Pensyarah Psikologi Perkembangan Dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mastura Badriz, berkata ilustrasi emosi yang terlihat dalam kehidupan harian kanak-kanak berfungsi sebagai satu cara bagi komunikasi untuk memberitahu dan menyatakan keperluan mereka.

“Segelintir anak yang menangis, besar kemungkinan mereka berasa takut dan memerlukan perlindungan daripada ibu bapa mereka. Kanak-kanak selalunya belum mengenali konsep masa. Sama ada sekejap atau lambat, asal saja ibu bapa tiada depan mata mereka akan mula menangis.

“Kadangkala ibu bapa selalu merungut ‘budak ni, aku tak ada depan mata seminit pun menangis’. Mereka hanya tahu, bila tiada ibu bapa depan mata, maka sudah tidak selamat,” katanya pada Seminar Celik Emosi anjuran Hal Ehwal Wanita (Helwa), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru-baru ini.

Beliau berkata, kanak-kanak menyuarakan ‘isi hati’ menerusi emosi yang ditonjolkan dan ibu bapa selalunya adalah idola kepada mereka. Segelintir ibu bapa yang marah terhadap anak andai menjerit, tetapi pada masa sama si ibu atau ayah tetap mengherdik seperti ‘mak kata jangan menjerit’.

Penggunaan intonasi yang tinggi, sedangkan ibu inginkan anak bersuara rendah, menjadi anak berkenaan keliru dengan apa yang diperkatakan. Memandu atau menangani emosi anak ke arah positif adalah perlu dalam usaha melahirkan anak yang seimbang.

“Setiap anak itu unik dan tersendiri. Along dan angah mungkin mempunyai emosi yang berlainan. Dalam usaha mengenali anak, ibu bapa perlu memahami emosi mereka kerana kita tidak mahu anak membesar dalam emosi yang terganggu.

“Ada anak yang sensitif tetapi ada anak yang merajuk mahu dirinya dipujuk serta dirayu. Andai betul caranya, kita ‘melayan’ emosi mereka, si kecil akan membesar merasa dirinya dihargai dan diperlukan, bukan dibiarkan bersendirian dan dibenci,” katanya.

Jenis Emosi atau Perasaan dan implikasi pada kanak-kanak:

Gembira – Membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.

Marah – Membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.

Takut – Rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.

Sedih – Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.

Geli – Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.

Cemas – Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.

Malu – Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Rasa bersalah – Wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ‘standard’ tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.

Rasa bangga – Tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.

Perkembangan Awal Emosi (bayi 0-15 bulan)

Emosi asas (positif dan negatif) berkembang secara ‘gradual’ terutama dalam tempoh enam bulan pertama dan selalunya ditonjolkan menerusi memek muka dan ‘eye contact’:

– gembira/seronok – senyum, pipi terangkat, mata berbentuk bulan sabit. Contoh – bila diagah.

– terkejut – angkat kening, mulut terbuka luas, bulatkan mata. Contoh – berhenti menangis bila dengar bunyi muzik atau suara jeritan

– minat – merenung, mengerutkan kening dan bibir. Contoh – merenung wajah ibu, melihat persekitaran

– marah – mengerut dan memasamkan muka, kening turun naik, mata tajam. Contoh ‘mengamuk’ bila mengantuk atau lapar, bila objek ‘dirampas’ daripada tangan.

– Sedih – muka masam dan layu, dagu tertolak ke hadapan. Contoh – ditinggalkan ibu

– Geli- berkerut kening, jelir lidah. Contoh – ‘menolak’ jenis makanan tertentu, menangis bila buang air.

Bayi antara 3 – 8 minggu sudah boleh tersenyum- perkembangan awal emosi positif

Bayi 12- 20 minggu – senyum pada wajah dan suara dikenali; senyum bila merasakan persekitaran ‘dikuasai’, mula ketawa.

– Enam bulan pertama bayi masih belum mempunyai rasa sayang/ kasih pada sesuatu/seseorang.

– Perasaan kasih mula terbentuk ketika usia antara 7 hingga 9 bulan – melalui hubungan ikatan kasih sayang, sentuhan, belaian dengan orang yang paling hampir seperti ibu dan ayah, menunjukkan rasa tidak senang/takut dengan kehadiran ‘orang asing’.

Emosi anak tatih (16-36 bulan)

Emosi turun naik seperti ‘roller coaster’

Usia 2 tahun : sudah tahu menunjukkan emosi dan emosi yang ditunjukkan memang disengajakan – tidak ragu-ragu untuk melakukannya.

Mahu ‘bebas’ tetapi tidak mahu ditinggalkan bersendirian – rasa diri ‘sudah besar’ tetapi mahu dibelai.

‘reject syndrome’ – dalaman kanak-kanak bukan ‘menentang’ ibu bapa.

‘temper tantrum’ (tidak mampu meluahkan perasaan sepenuhnya dalam bentuk perkataan/verbal)

Berbagai bentuk perasaan takut: bunyi bising, suara binatang, bilik gelap, ‘hilang’ ibu bapa, perubahan persekitaran dan sebagainya (takut pada apa saja yang ‘dianggap’ bahaya).

Emosi anak prasekolah (36 bulan hingga ke usia enam tahun)

Usia 3-4 tahun sudah boleh memahami perkaitan antara emosi dan persekitaran/ sebab yang mempengaruhi emosi.

Mula belajar mengawal emosi yang turun naik.

Pemahaman terhadap emosi orang lain terbatas hanya kepada emosi yang ditunjukkan melalui memek muka.

Perasaan takut yang terbentuk berkait dengan imaginasi dan khayalan berserta perkembangan daya kreativiti dan pemikiran abstrak. Contohnya takut hantu, takut jatuh.

Lebih berdikari, kurang physical contact dengan ibu bapa.

Lebih banyk bercakap untuk mencurah perasaan/menangani perasan.

Perkembangan emosi kanak-kanak usia pertengahan (7-14 tahun)

Sudah pandai menyembunyikan emosi yang negatif dengan berpura-pura menunjukkan keseronokan.

Sudah mula memahami dan menghurai emosi yang kompleks : perasaan malu, rasa bersalah, rasa bangga dan cemburu.

Perasaan takut mula berkembang kepada yang lebih realistik – takut sekolah, takut berkomunikasi, takut kejadian jenayah.

Mahu disayangi tetapi bukan ditonjolkan depan ramai.

Amat memerlukan bantuan mengenalpasti emosi marah agar tidak ‘out of control’; belajar mengawal perasan.

Perlu perhatian dan dorongan mengatasi rasa takut.

Mula memahami keperluan kumpulan.

Sumber: Forwarded Email

Advertisements

~jumpa doktor jika bayi tidak mengengsot~

November 13, 2006

Soalan:

Doktor, adakah seseorang bayi yang mengengsot tetapi tidak merangkak merupakan satu kebiasaan di dalam tumbesaran bayi? Saya berasa agak bimbang kalau-kalau keadaan ini akan memberikan kesan negatif terhadap perkembangan fizikal dan mental bayi tersebut?

Jawapan:

*Mengengsot

Merangkak adalah cara pergerakan yang utama pada bayi sebelum mereka mula berjalan – kebiasaannya mula dipelajari pada enam bulan kedua.

Pada masa yang sama, bayi belajar duduk sendiri untuk jangka masa yang lama. Proses pembelajaran ini berlaku secara beransur-ansur.

Proses ini lazimnya mencapai tahap sepenuhnya ketika bayi berumur sembilan hingga 10 bulan.

Sebelum seseorang bayi itu boleh merangkak, ia boleh mencari kaedah-kaedah lain untuk pergerakannya.

Bagi kebanyakan bayi, creeping atau bergerak di atas perut sebelum boleh merangkak, selalunya berlaku sekitar umur mereka tujuh bulan.

Bayi-bayi juga tahu mereka boleh bergerak jauh dengan hanya berguling (rolling) dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Bayi juga boleh bergerak ke depan dengan hanya mengunakan tangan dan siku mereka sambil kedua-dua kakinya lurus di belakang.

Bayi juga boleh bergerak sambil duduk dengan menarik menggunakan satu atau kedua-dua tangan yang dinamakan mengengsot (bottom shuffling). Daripada perspektif bayi, cara ini ada beberapa kelebihannya dari merangkak – ia boleh membebaskan satu tangan. Ia juga memberikan jarak penglihatan yang lebih baik dan, bayi sudah dalam posisi duduk bila sampai ke destinasinya.

Kelebihan seperti ini memberikan alternatif yang lebih mudah dan menjadi pilihan kepada sesetengah bayi sehinggakan mereka langsung tidak merangkak dan terus belajar berdiri dan berjalan.

Ini satu fenomena yang normal dan tidak perlu dikhuatiri akan membawa kepada masalah koordinasi (penyelarasan) dan sebagainya.

Bayi-bayi mempelajari kemahiran pada tahap dan masa yang berbeza, ada yang cepat daripada yang lain.

Jika bayi tidak menunjukkan apa-apa minat untuk bergerak sama ada merangkak, mengengsot, meniarap dan sebagainya serta tidak menunjukkan koordinasi tangan dan kaki yang baik atau, kurang menggunakan tangan dan kaki dengan sama apabila mencapai peringkat umur setahun, maka bayi itu perlu diperiksa oleh doktor. Harus juga diingat bahawa bayi yang lahir tidak cukup bulan (pramatang) mungkin mencapai tempoh ini dalam masa yang lebih lewat berbanding rakan-rakan mereka yang dilahirkan dengan normal sembilan bulan.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Pediatrik (Kanak-kanak), Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar.

Sumber:Utusan Malaysia


~gigi harus dijaga seawal bayi~

Oktober 12, 2006

cahayamata

BARISAN gigi yang cantik, kemas, putih dan berseri sebenarnya bermula sejak bayi. Justeru, penjagaan gigi seharusnya dibuat sejak bayi berusia enam bulan.

gigi

Pakar Pergigian dari Klinik Pergigian Dr Halina, Dr Halina Haron, berkata kebanyakan ibu bapa memandang remeh cara dan tahap penjagaan gigi anak mereka. Justeru, katanya tidak hairan apabila gigi susu yang sepatutnya mula longgar pada usia enam tahun mengalami kerosakan dan terpaksa dicabut seawal usia tiga tahun.

“Pembentukan gigi bayi sebenarnya bermula di peringkat janin. Oleh itu, pengambilan makanan ibu terutama kalsium ketika hamil sangat penting kerana ia mempengaruhi pembentukan gigi dan janin itu sendiri,” katanya.

Dr Halina berkata, adalah satu mitos apabila ibu mempercayai setiap kali hamil, mereka akan kehilangan sebatang gigi atau gigi reput. Ini tidak benar jika ibu mengamalkan pengambilan makanan yang betul dan makanan tambahan yang disarankan oleh doktor.

“Satu lagi yang perlu diberi perhatian, penjagaan gigi kanak-kanak bermula dengan sikap ibu bapa sendiri. Biasakan selepas bayi selesai menyusu, lapkan batas gusinya menggunakan tuala basah dengan lembut,” katanya.

Katanya, langkah mengeringkan batas gusi bertujuan mengelakkan sisa susu tertinggal di dalam mulut yang kemudian akan berlendir dan mengembang.

“Apabila bayi dibiasakan dengan tabiat penjagaan gigi sejak kecil, dia akan berasa selesa dengan keadaan itu dan penjagaan gigi akan menjadi habit.

“Gigi kekal yang kita miliki hari ini bermula dengan perjalanan yang sangat panjang. Ia bermula dengan gigi susu yang tumbuh pada usia enam bulan dengan dua batang gigi hadapan di bahagian rahang bawah,” katanya.

Beliau berkata, set gigi susu yang lengkap hanya akan muncul apabila bayi mencecah usia dua tahun setengah atau kurang daripada itu.

Pada ketika usia kanak-kanak mencecah tiga tahun, ibu bapa boleh memperkenalkannya dengan berus dan ubat gigi kanak-kanak. Tetapi pastikan ibu bapa yang menggosok gigi anak tidak membiarkan anak melakukannya sendiri bagi memastikan gigi digosok dengan baik dan anak tidak tertelan ubat gigi.

“Jangan ambil mudah penjagaan gigi susu walaupun akan digantikan dengan gigi kekal. Ini disebabkan gigi susu bertindak sebagai ‘reversed spot’ untuk gigi kekal.

“Perlu disedari di bawah setiap batang gigi susu ada gigi kekal yang akan tumbuh mengikut masa yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, penjagaan gigi susu penting supaya tidak rosak atau perlu dicabut terlalu awal kerana akan menyukarkan gigi kekal untuk tumbuh dengan baik.

“Misalnya gigi geraham kekal hanya akan tumbuh pada usia 11 tahun. Jika gigi susu geraham rosak dan perlu dicabut pada usia tiga tahun, kawasan itu akan kosong sehingga usia kanak-kanak mencecah 11 tahun.

“Apabila gigi itu tumbuh tanpa panduan gigi susu geraham, ia tidak akan tumbuh dengan kedudukan yang baik. Mungkin senget, terkena pipi dan tidak tersusun.

“Kedudukan gigi yang lintang pukang membuatkan gigi kelihatan tidak cantik dan memerlukan bantuan pendakap gigi,” katanya.

Beliau berkata, setiap gigi ada jadual pertumbuhan yang berbeza dimulai dengan gigi hadapan sebelum gigi di bahagian lain. Justeru, amat penting ibu bapa mengajar anak mengenai penjagaan gigi sejak kecil.

Katanya, ajar mereka menggosok gigi mengikut jadual setiap pagi dan malam. Pastikan ibu bapa juga menjaga gigi dan jika boleh lakukannya bersama anak mereka,” katanya.

Mengapa masalah gigi berlaku?

a) Pembersihan gigi yang tidak betul menyebabkan kewujudan plak atau lendir selaput gigi yang menyebabkan gigi cepat rosak. Justeru, pembersihan efektif dan teknik yang betul sangat diperlukan.

b) Rampant cariers (kerosakan gigi menyeluruh)

Kerosakan gigi susu yang menyeluruh dan reput disebabkan tiadanya tabiat menggosok gigi sejak kecil. Ini ditambah pula dengan tabiat memakan makanan yang terlalu banyak mengandungi gula tetapi tidak pula membersihkan gigi selepas makan.

c) Menghisap puting, susu botol atau menghisap jari. Pastikan kanak-kanak tidak menghisap puting atau menghisap jari. Tabiat ini akan mengganggu pembentukan tulang rahang dan boleh menyebabkan giginya jongang. Jika anak menghisap susu botol, pastikan dia puting susu dijauhkan dari mulut ketika dia tidur.

Panduan untuk ibu bapa

a) Seawal usia dua setengah tahun, bawa anak berjumpa doktor gigi walaupun dia tidak berhadapan dengan masalah gigi. Jangan tunggu sehingga giginya sakit kerana ia akan meninggalkan ‘pengalaman ngeri’ terhadap doktor gigi. Lawatan pertama tanpa kerosakan akan membuatkan dia suka dan menyenangi doktor gigi.

Lawatan ini cukup sekadar pemeriksaan dan membiasakan dia duduk di kerusi rawatan tanpa sebarang prasangka. Lawatan berikutnya selepas enam bulan untuk rawatan ‘fissure sealant’ sejenis tampalan pencegahan di permukaan gigi yang berlekuk supaya makanan tidak terkumpul di situ. Lawatan ketiga lebih kepada membaiki kerosakan gigi jika ada.

b) Jadikan lawatan ke doktor gigi sebagai ‘family outing’. Kanak-kanak cenderung untuk meniru sikap ibu bapa. Rasa gerun dan gentar pada doktor gigi akan hilang dengan sendirinya.

c) Jika anak menikmati makanan manis, ajar dia bersihkan gigi selepas itu atau kurangkan pengambilan makanan manis.

d) Ubat-ubatan untuk kanak-kanak selalunya mengandungi gula. Cuba minta ubat yang kurang gula jika ada. Jika tidak, berikan dia air kosong selepas mengambil ubat dalam usaha membersihkan gula yang mungkin terlekat di celah-celah gigi.

e) Ajar anak pilih snek yang kurang gula. Makanan yang manis elok diberi selepas waktu makan (mealtimes) dan bukan antara waktu makan. Air liur pada waktu makan akan membantu membersihkan dan menaturalkan gula dalam mulut.


~periksa mata anak sebelum 3 tahun~

September 11, 2006

Ibu bapa disarankan membawa anak mereka untuk menjalani pemeriksaan mata selewat-lewatnya pada usia tiga tahun bagi mengesan sebarang risiko ketidaknormalan penglihatan.

Pakar Mata Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (Thoneh), Dr Zainal Mohamad, berkata pemeriksaan awal boleh membantu mengurangkan risiko penyakit mata, insiden kebutaan serta memperbaiki pendekatan dalam rawatan penyakit berkaitan mata.

Beliau yang ditemui selepas Seminar Dunia Penglihatan Kanak-kanak:  Perkembangan, Masalah dan Rawatan, di sini hari ini, berkata permasalahan mata di kalangan kanak-kanak jika dikesan pada usia yang lewat, akan menyukarkan usaha merawatnya dan mungkin menyebabkan kecacatan kekal.

“Sebaliknya, jika masalah itu cepat dirujuk kepada pakar, kanak-kanak mungkin hanya perlu menjalani rawatan yang mudah seperti hanya perlu menggunakan cermin mata atau pembedahan kecil untuk memperbaiki masalah mereka,” katanya.

Beliau yang sebelum itu membentangkan kertas kerja berjudul “Apa Yang Mereka Lihat dan Perkembangan Penglihatan Normal”, berkata perkembangan penglihatan kanak-kanak merupakan proses berterusan dan mencapai tahap matang pada usia lapan tahun.

“Jika berlaku sesuatu (kecederaan) semasa usia itu, ia akan menjejaskan peluang perkembangan penglihatan yang normal,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia kesedaran dan pengetahuan mengenai aspek kesihatan mata masih rendah berbanding aspek kesihatan lain.

“Yang selalu dibimbangkan oleh ibu bapa ialah sama ada anak-anak dapat membaca atau tidak, tetapi soal organ (mata) (untuk membaca) kita tidak pernah tekankan, sama ada ia dalam keadaan baik atau tidak,” katanya.

Beliau berkata masyarakat, terutama ibu bapa dan pengasuh kanak-kanak, perlu lebih peka terhadap perkembangan penglihatan kanak-kanak agar dapat mengesan sebarang risiko penyakit berkaitan mata dengan lebih cepat.

“Di Amerika Syarikat dan England misalnya, prasyarat untuk masuk ke pusat jagaan kanak-kanak ialah kanak-kanak itu wajib menjalani pemeriksaan mata selewat-lewatnya pada usia tiga tahun.

“Tetapi di Malaysia, walaupun kita ada Sistem Perkhidmatan Kesihatan di Sekolah, tetapi biasanya pemeriksaan mata hanya dilakukan pada usia tujuh tahun, ketika ‘pintu dah nak tutup’ (terlalu lambat berdasarkan perkembangan penglihatan yang hampir matang),” katanya.

Antara permasalahan mata di kalangan kanak-kanak ialah rabun jauh, rabun dekat, astigmatisme (gangguan penglihatan disebabkan kornea yang ‘menggeleding’), juling, buta warna, mata malas (ambliopia), katarak dan mata merah. BERNAMA


~risiko alpa imunisasi anak~

September 5, 2006


Apa perasaan anda jika diberitahu penyakit anak anda disebabkan kelalaian anda mematuhi jadual imunisasi? Jika penyakit itu boleh dirawat, pasti anda sanggup bergolok bergadai, tetapi bagaimana seandainya ia mengakibatkan kecacatan kekal atau kematian?

Kelalaian kita sebagai ibu bapa mematuhi jadual imunisasi sebenarnya mencabul atau menafikan hak anak untuk membesar dengan sihat.

Sebaik dilahirkan, semua bayi mempunyai hak untuk mendapat suntikan perlindungan penyakit atau imunisasi.

Hak ini sangat penting untuk dipenuhi dan diberikan keutamaan dengan adanya jadual imunisasi yang disediakan Kementerian Kesihatan.

Malangnya, akibat kesibukan kerja, ada ibu bapa alpa untuk mematuhi jadual imunisasi berkenaan tanpa mengetahui akibat buruk yang bakal ditempuhi si kecil.

Sistem pertahanan badan bayi sangat lemah kerana ia belum terbentuk sepenuhnya. Ini menyebabkan mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan pelbagai penyakit.

Sedihnya, ada antara penyakit ini boleh menyebabkan kecacatan kekal atau lebih buruk, mengakibatkan kematian.

Nama penyakit seperti polio, batuk kering, Hepatitis A dan B, difteria, batuk kokol (pertusis), kancing gigi (tetanus), Haemophilus Influenza (Hib jenis B iaitu jangkitan saluran pernafasan), beguk, demam campak, demam kepialu, meningitis (radang pada selaput otak dan saraf tunjang) dan cacar air adalah penyakit yang boleh dielakkan melalui imunisasi.

Walaupun program imunisasi dimulakan sejak berpuluh tahun lalu, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2001 menganggarkan 34 juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak mendapat imunisasi lengkap sepanjang hayat mereka.

Daripada jumlah itu, dianggarkan 2.3 juta kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun kerana tidak mendapat perlindungan.

Carta WHO itu menunjukkan ramai kanak-kanak maut akibat demam campak, Hepatitis B, Haemophilus Influenza, batuk kokol, kancing gigi, demam kuning, difteria dan polio.

Ini menyedihkan kerana kematian akibat penyakit di atas boleh dielakkan.

Kebanyakan kanak-kanak malang itu tinggal di negara membangun yang tidak mempunyai kemudahan mendapatkan vaksin baru, terutama untuk serangan penyakit Hepatitis B dan Hib atau tidak mendapat dos pelalian penuh.

Pengarah dan Ketua Jabatan Virologi, Pusat Kajian Penyakit Berjangkit Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR), Dr Nor Shahidah Khairullah, ketika sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia anjuran GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK) berkata, imunisasi adalah asas kesihatan masyarakat umum kerana tanpanya, semua program kesihatan susulan tidak berguna.

“Ia kaedah perlindungan paling mudah, berkesan, lebih murah dan selamat. Malah, perkembangan teknologi membolehkan penyelidik mencipta vaksin baru yang dapat melindungi kanak-kanak daripada jangkitan pelbagai jenis penyakit berbahaya,” katanya.

Mengapa perlu ada jadual imunisasi? Suntikan imunisasi diberikan secara berperingkat dalam jangka masa tertentu kerana badan bayi belum dapat menghasilkan antibodi mereka sendiri.

Jika anda melengahkan pemberian imunisasi kepada anak, antibodi dalam badan mereka akan berkurang dengan cepat dan mungkin tiada langsung jika suntikan vaksin seterusnya tidak diberikan.

Hanya selepas jadual imunisasi dipenuhi, baru badan kanak-kanak dapat menghasilkan antibodi secukupnya untuk melawan serangan virus atau bakteria. Sebaliknya, jika suntikan vaksin kedua atau ketiga dilengahkan sehingga beberapa bulan, keseluruhan proses imunisasi bagi sesetengah penyakit mungkin perlu diulang kembali bagi mengelakkan si kecil mendapat jangkitan.

Dr Nor Shahidah berkata, pemberian vaksin atau pelalian bukan hanya dapat mengurangkan belanja rawatan, tetapi turut melindungi keluarga daripada penyakit kerana jangkitan penyakit sangat mudah tersebar melalui kanak-kanak.

“Kanak-kanak hari ini beruntung, perkembangan teknologi memberi peluang penyelidik menghasilkan banyak vaksin baru yang membolehkan ia diperoleh pada harga jauh lebih murah dan selamat berbanding dulu. Pada masa sama, ia dapat memberikan perlindungan kepada lebih banyak bakteria dan virus penyebab penyakit berbahaya,” katanya.

Imunisasi wajib untuk kanak-kanak di Malaysia bermula sejak mereka dilahirkan. Ia dimulakan dengan pemberian suntikan vaksin BCG (untuk batuk kering), Hepatitis B, batuk kokol (pertusis) dan demam campak (rujuk jadual).

Antara penyakit yang dilindungi melalui suntikan imunisasi ialah:

  • Batuk kering (melalui vaksin BCG) — Ia disebabkan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang boleh merosakkan paru-paru, menyebabkan batuk kering dan pendarahan paru-paru. Ia merebak melalui udara.
  • Hepatitis B — Penyakit hati kronik yang menyebabkan kerosakan hati dan barah, akibat jangkitan virus Hepatitis B. Merebak melalui hubungan seks, kehamilan (daripada ibu kepada anak) dan di kalangan penagih dadah yang berkongsi jarum. Individu yang lahir sebelum 1989 dinasihatkan mendapatkan vaksin Hepatitis B kerana ia hanya diperkenalkan pada 1989.
  • Difteria (vaksin DPT) — Disebabkan bakteria Corynebackterium diphteriae. Ini sejenis penyakit kerongkong yang menyebabkan pesakit sesak nafas dan merebak melalui lendir ketika batuk atau bersin.
  • Pertutis (batuk kokol, dielak dengan vaksin DPT) — Penyakit menyerupai demam batuk selesema.
  • Tetanus (kancing gigi, dielak dengan vaksin DPT) — Akibat jangkitan bakteria Clostridium tetani yang menyebabkan otot di leher dan dagu tegang.
  • Polio (vaksin polio) — Disebabkan virus polio. Akibatnya kanak-kanak mengalami kelumpuhan kerana toksin daripada bakteria melumpuhkan sistem otot dan urat saraf.
  • Hib B (dielak dengan vaksin Hib) — Ia menyerupai penyakit demam batuk selesema, tetapi bakteria boleh merebak ke paru-paru (menyebabkan pneumonia) dan otak (mengakibatkan meningitis). Ia juga boleh mengakibatkan pendarahan dalam kulit dan ruam.
  • Beguk dan campak (dielak dengan vaksin MMR)
  • Beguk — Menyerupai demam batuk selesema dan virus merebak melalui udara ketika batuk. Ia menyebabkan bengkak pada kelenjar parotid (di bawah dan depan telinga).
  • Campak — Jangkitan virus akan menyebabkan ruam merah yang boleh merebak ke otak. Virus tersebar melalui udara ketika pesakit bersin atau batuk.Imunisasi juga memberi perlindungan tambahan kepada:
  • Hepatitis A — Ia disebabkan virus Hepatitis A yang membiak dalam makanan dan minuman tercemar sisa manusia. Perebakan virus boleh berlaku jika orang yang dijangkiti menyediakan makanan dan ia boleh merosakkan hati.
  • Demam kepialu (tifoid) — Akibat jangkitan bakteria Salmonella typhi, merebak melalui makanan dan air tercemar sisa manusia, menyebabkan cirit-birit, muntah dan pendarahan usus.
  • Meningococal Meningitis — Disebabkan bakteria meningococcus. Jangkitan berlaku di tempat yang sesak dan menyebabkan kerosakan urat saraf.
  • Cacar air — Disebabkan virus Varicella zoster. Pesakit mengalami ruam berair di seluruh badan dan boleh merebak ke otak (menyebabkan meningitis), muka dan mata (boleh menjadi buta). Ia dielak dengan vaksin campak (MMR).

  • ~susu ibu penawar terbaik untuk bayi~

    Julai 7, 2006

    Susu ibu adalah penawar terbaik bagi bayi yang mengalami cirit-birit, gangguan sistem usus, jangkitan saluran pernafasan dan keradangan akibat serangan virus atau bakteria pada telinga.

    Bayi yang diberikan susu ibu mempunyai risiko rendah untuk mendapat pelbagai jangkitan atau masalah kesihatan kerana susu ibu mengandungi antibodi untuk menguatkan badan si kecil menentang serangan bakteria.

    Secara umumnya, susu ibu adalah makanan yang lengkap — ada protein, vitamin dan mineral; semuanya penting untuk membentuk sistem pertahanan badan bayi dan membantu pertumbuhan serta perkembangannya.

    Susu ibu sebenarnya mengandungi banyak faktor-bio yang kompleks. Faktor-bio adalah bahan yang memberi kesan positif dan merangsang sistem biologi badan, mengekalkan mikro organisma berguna dalam usus bagi mengekalkan kestabilan kesihatan. Faktor ini membantu meningkatkan sistem imunisasi bayi yang diberikan susu badan.

    Antara faktor-bio utama yang dikenal pasti dan ditambah dalam susu formula ialah nukleotida, rantaian panjang asid lemak tidak tepu (LCP) seperti asid arakidonik (AA) dan asid dokoheksanoik (DHA), selenium dan karotenoid.

    Selain itu, susu ibu mengandungi faktor anti-mikrobial yang berfungsi menentang bakteria dalam usus (seperti laktoferin, lisozim, IgA, lipid dan oligosakarida); anti-keradangan (contohnya prostaglandin, kortisol, epitelial, faktor tumbesaran, asid lemak tidak tepu) serta perangsang sistem imunisasi (seperti sitokinin dan nukleotida).

    Sistem pertahanan

    Seperkara lagi, susu ibu juga ada satu bahan dipanggil limfosit yang meningkatkan sistem pertahanan badan, manakala faktor bifida membantu pertumbuhan bakteria berguna, Lactobacillus bifidus dalam usus.

    Bunyinya mungkin terlalu ilmiah, tetapi ini antara ‘bahan penting’ dalam susu ibu yang sudah dikenal pasti. Susu ibu memang unik dan ia digunakan sebagai piawaian untuk pengeluar susu formula.

    Sehingga kini belum ada susu formula mampu menyaingi khasiatnya kerana ada beratus-ratus faktor-bio belum dapat ‘ditambah’ ke dalam susu formula.

    Pensyarah Kolej Perubatan dan Kesihatan Umum, Universiti South Florida, Dr Jane Carver, berkata kajian membuktikan kanak-kanak yang diberikan susu ibu membesar dengan lebih baik dan cepat.

    Katanya, kanak-kanak yang dibesarkan dengan susu ibu didapati lebih cerdik, mendapat keputusan baik dalam pelajaran dan kecerdasan ini dipercayai berlanjutan sehingga dewasa.

    “Sememangnya khasiat susu ibu tiada tandingan. Bahan penting susu ibu seperti AA dan DHA membantu perkembangan neuro (sistem saraf) dan otak yang lebih baik.

    “Susu ibu juga mengandungi hampir 30 jenis karotenoid yang memainkan fungsi penting dalam sistem pertahanan badan bayi. Ia berfungsi sebagai agen antioksidan dan anti keradangan.

    “Selenium pula berfungsi sebagai antioksidan untuk mengelakkan kemusnahan membran sel dan merangsang proses pembesaran,” katanya ketika perbincangan media mengenai faktor-bio dalam pemakanan bayi anjuran Wyeth (Malaysia) Sdn Bhd, baru-baru ini.

    Susu badan sangat penting, terutama kepada bayi pramatang (tidak cukup bulan) kerana organ mereka belum berkembang sepenuhnya ketika dilahirkan. Malah, kebanyakannya mengalami masalah kekurangan berat badan dan mudah mendapat jangkitan.

    Kajian epidemiologi dan klinikal menunjukkan susu ibu yang kaya karotenoid mampu merendahkan risiko mengalami pelbagai penyakit akibat kemerosotan tisu, gangguan retina mata dan displasia bronkopulmonari (perkembangan paru-paru yang tidak normal).

    Susu ibu adalah makanan yang steril. Justeru anak yang mengalami cirit-birit dan diberikan susu ibu akan terhindar daripada jangkitan bakteria atau virus berterusan.

    Kandungan nukleotida dalam susu ibu juga mampu menguatkan sistem usus dan imun bayi. Ini juga sebabnya bayi yang diberikan susu ibu mempunyai risiko rendah mengalami cirit-birit.

    “Malangnya, ramai ibu berhenti memberikan susu ibu apabila mereka kembali bekerja. Walaupun susu formula juga ada banyak khasiat, ia belum dapat menandingi susu ibu kerana kandungan susu ibu berubah mengikut keperluan anak.

    “Berikan susu badan kepada anak walaupun sedikit, tetapi anak tetap akan mendapat banyak manfaatnya. Pemakanan ketika kecil akan memberi kesan besar apabila anak dewasa. Justeru, jangan bazirkan anugerah yang diberikan,” katanya.

    Sumber:Harian Metro


    ~soal jawab::jumlah tidur bayi berusia setahun~

    Jun 16, 2006

     

    Anak usia setahun perlu tidur lapan jam

    Soalan: Berapa jamkah seorang bayi berusia setahun perlu tidur dalam sehari? Bagaimanakah cara untuk memaksa anak tidur lebih awal/ lebih banyak?

    Jawapan: Selalunya anak berusia setahun memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam tidur tetapi ramai anak yang tidur 10 jam atau lebih.

    Mereka juga akan tidur waktu siang. Anak perlu ditidurkan pada masa yang sama tiap-tiap hari atau malam. Kurangkan aktiviti dan tontonan televisyen sebelum tidur.

    Cuba buatkan rutin membaca buku semasa anak hendak tidur – ini akan meningkatkan interaksi anak dengan ibu bapa dan juga menggalakkannya lebih suka membaca buku.

    Satu lagi cara menidurkan anak ialah dengan mengurut bayi yang akan meningkatkan hormon melatonin dan kurangkan kortisol supaya anak rasa tenang dan lebih senang tidur.