~10 perkara perlu dielak ketika hamil~

Disember 15, 2006

1. Aspirin – akan menyebabkan jumlah cecair amnion menjadi sedikit, mengurangkan aliran darah di dalam otak bayi.

2. Alkohol – meracun sel-sel di dalam tubuh janin yang sedang membesar.

3. Litium – ubat yang berkesan untuk merawat masalah mood yang tidak menentu dan boleh menjejaskan perkembangan jantung bayi.

4. Vitamin A – jika pengambilannya berlebihan melebihi 8000 IU sehari, risiko untuk bayi mendapat keabnormalan urinari dan trak genital semakin meningkat.

5. Tetrasaiklin – sejenis antibiotik untuk merawat jangkitan dada, faraj dan ubat jerawat. Jika diambil pada trimester kedua dan ketiga, ia boleh menjejaskan perkembangan gigi bayi dan menyebabkan giginya berwarna kuning.

6. Ubat penahan sakit – boleh menyebabkan penguncupan salur darah penting di jantung bayi yang sepatutnya hanya menguncup selepas dilahirkan.

7. Rokok – ia menganggu pengaliran oksigen kepada janin, janin cenderung lahir tidak cukup bulan, kecil, dan ringan, mudah keguguran, bayi cacat atau mati sebaik dilahirkan.

8. Hentikan kegiakan lasak – seperti bermain tenis, menunggang kuda atau kerja yang memerlukan anda berdiri sepanjang masa.

9. Minuman tertentu – kurangkan pengambilan minuman bergas, berkafeina, teh herba kerana dikhuatiri boleh mengancam bayi dalam kandungan.

10. Makanan – makanan yang dipanaskan semula dikhuatiri mengandungi bakteria dan tidak baik untuk kesihatan. Makanan dalam tin biasanya tinggi kandungan gula, garam, perisa, lemak, bahan awet dan penawar tiruan. Gula boleh menambahkan berat badan.

Sumber: Forwarded Email

Advertisements

~posisi tidur ibu hamil~

Disember 11, 2006

Sebaiknya ibu hamil tidur dalam keadaan mengiring ke kanan ataupun ke kiri. Ini kerana ia dapat mengelakkan rahim daripada menekan pada pembuluh darah besar yang terdapat di belakang rahim.

Jadi lebih banyak darah akan sampai ke jantung kanan dan seterusnya kepada bayi. Cari posisi yang paling selesa. Alaslah dengan bantal di bahagian belakang untuk bantu menyokong dan mengurangkan sakit belakang.


~pemeriksaan bulanan ibu mengandung~

Disember 5, 2006

Lawatan Pertama

Memastikan serta mengesahkan kehamilan. Biasanya doktor akan terus memberikan due date atau tarikh anda akan dijangka bersalin. Biasanya kalau anda tidak dapat memastikan bila tarikh akhir haid, ujian ultrasound akan dilakukan untuk memberikan jangkaan bersalin yang lebih tepat.

Lawatan Kedua

Biasanya selapas minggu ke 12 kehamilan, doktor akan memeriksa uterus @ bayi dalam kandungan anda yang sedang membesar bagi menentukan samada bayi anda membesar secara normal atau tidak. Masalah utama kebanyakan ibu pada masa ini ialah loya, muntah-muntah serta sering pitam.

Lawatan Ketiga

Biasanya usia kehamilan masuk minggu ke 20. Selain pemeriksaan asas, anda akan menjalani ujian PIH (Pregnancy Induced Hypertension) iaitu pemeriksaan terperinci untuk melihat kesihatan ibu. Ujian-ujian tersebut termasuklah:

  • Air kencing
  • Tekanan darah
  • Berat badan
  • Ujian darah (diambil dari vena pada lengan ibu)
  • Ultrasound (mengesan masalah kecacatan bayi dalam kandungan)

Lawatan Keempat

Usia kehamilan masuk minggu ke 24. Ibu akan menjalani ujian asas berikut:

  • Air kencing
  • Tekanan darah
  • Berat badan

Lawatan Kelima

Usia kehamilan masuk minggu ke 28. Selain pemeriksaan asas, ibu akan diberikan suntikan ATT (Anti Tetanus Toxoid) Pertama. Ini adalah bertujuan untuk membantu ibu hamil membentuk antibodi yang cukup untuk melindungi dirinya dan bayi daripada kuman yang mudah dijangkiti sebagai contoh melalui luka dan sebagainya.

Lawatan Keenam

Usia kehamilan masuk minggu ke 32. Pada masa ini ujian asas dan suntikan ATT (Anti Tetanus Toxoid) Kedua akan dilakukan ke atas anda.

Lawatan Ketujuh

Usia kehamilan masuk minggu ke 34. Ujian ultrasound akan dilakukan bagi memastikan kedudukan kepala bayi, uri, berat serta saiz bayi.

Lawatan Kelapan Dan Seterusnya Lawatan Seminggu Sekali

Dan seterusnya anda perlu lakukan lawatan seminggu sekali sehingga hari bersalin tiba.

Sumber:Forwarded Email


~memberi ubat kepada kanak-kanak~

November 29, 2006

Bayi dan kanak-kanak memang sering diserang penyakit yang menyebabkan mereka kerap dibawa berjumpa doktor untuk mendapat rawatan. Sebagai contoh, sewaktu menjelang usia tiga tahun, seorang kanak -kanak mungkin telah diserang batuk selesema sebanyak 20 kali, lelah dua kali, cirit -birit 2 kali, cacar air (chicken pox) sekali, sakit merah mata (conjunctivitis) sekali, jangkitan kulit (impetigo) sekali dan jangkitan tekak dua kali. Dari sini kita dapat bayangkan bagaiman kerapnya kanak -kanak itu dijangkiti penyakit dan terpaksa memerlukan rawatan doktor dari semasa ke semasa.

Tidak semua penyakit yang dihadapi oleh kanak-kanak boleh dirawat. Adakalanya, ubat yang diberikan hanyalah untuk mengurangkan tanda-tanda yang mengiringi penyakit itu seperti demam, cirit-birit, pening, sakit kepala, muntah-muntah, gatal-gatal dan sebagainya. Umpamanya, seorang kanak-kanak telah menghidap demam selesema akibat jangkitan virus. Ubat yang diberi bukanlah untuk membunuh virus tersebut tetapi hanya untuk mengurangkan demam atau batuk selesema menyebabkan bayi atau kanak-kanak itu tidak mahu makan dan kelihatan sakit.

Merawat bayi dan kanak-kanak tidak sama seperti merawat orang dewasa. Orang dewasa bertanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri dan akan mengambil ubat yang dibekalkan oleh doktor apabila jatuh sakit.

Tetapi, dalam hal merawat bayi dan kanak-kanak, doktor memerlukan kerjasama pihak ibu bapa. Jika ibu bapa tidak faham, tidak yakin, cuai atau ingkar terhadap arahan-arahan doktor, ini akan menjejaskan usaha merawat bayi atau kanak-kanak itu. Doktor bertanggungjawab untuk menerangkan kepada ibu bapa tentang penyakit yang dihadapi oleh anak mereka. Beliau juga perlu menjelaskan pendekatan yang dipilih untuk merawat si anak itu serta jenis-jenis ubat yang digunakan termasuk juga kesan-kesan sampingan yang perlu ibu bapa berikan perhatian. Kerjasama pihak ibu bapa perlu diperoleh untuk meneruskan program rawatan yang telah dirangka.

Dos ubat yang digunakan untuk bayi dan kanak-kanak semestinyalah lebih rendah daripada yang digunakan oleh orang dewasa. Ada ubat yang digunakan untuk tempoh beberapa hari sahaja dan ada untuk satu hingga dua minggu, berbulan-bulan atau seumur hidup. Ubat terdapat dalam bentuk sirap atau tablet dan diberikan dalam bebagai-bagai cara. Ada yang dilakukan secara suntikan, secara enema (memasukkan ubat melalui dubur), secara sedutan (aerosol) atau secara titik kedalam hidung, telinga atau mata. Masalah yang paling besar dihadapi oleh doktor ialah compliance, iaitu memastikan yang si anak itu diberi ubat mengikut dos yang disarankan pada setiap masa yang ditentukan. Jika di wad, pemberian ubat seperti yang disarankan kerana terlupa, kurang yakin terhadap ubat tersebut atau kerana si anak berdegil tidak mahu makan ubat dan sebagainya.

Kanak-kanak tetap berbeza walaupun menghidap penyakit yang sama. Ciri-ciri peribadi, personaliti ibu bapa, keadaan di rumah dan cara gaya keibubapaan adalah berbeza antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Doktor perlulah menyesuaikan pendekatan yang digunakan untuk merawat setiap kanak-kanak itu. Apabila merawat seseorang kanak-kanak, doktor perlulah menggunakan kecekapannya berkomunikasi dengan ibu bapanya. Seringkali, pihak ibu bapa salah faham tentang bentuk rawatan yang disarankan oleh doktor. Kita ambil beberapa contoh kes untuk menggambarkan bagaiman salah faham boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak.

KES 1
Seorang bayi perempuan telah dibawa klinik kerana diserang ruam lampin. Doktor menyarankan agar ibunya menyapukan sejenis krim steroid tiga kali sehari selama lima hari berturut-turut. Ruam tersebut telah sembuh dengan cepatnya tetapi berulang-ulang kembali. Ibu tersebut yakin dengan krim yang digunakan lalu membelinya sendiri di kedai ubat. Dia telah cuba merawat bayinya tanpa mendapatkan nasihat doktor sehingga usia bayi itu meningkat 20 bulan. Dalam masa itu, bayinya telah menjadi gemuk, pendek mukanya semakin bulat jika dibandingkan dengan bayi-bayi yang sebaya dengannya. Bayi tersebut telah mengidap merah dan gatal-gatal kulit pada bahagian lampin menyebabkan dia tidak dapat tidur malam. Si ibu mula berasa bimbang lalu membawa anaknya kelinik semula. Doktor yang memeriksa telah dapat mengagak bahawa keadaan ini disebabkan oleh penggunaan krim steroid yang berlanjutan sehingga membawa kepada keadaan yang dinamakan steroid toxicity. Anak ini telah dimasukkan kewad untuk mendapatkan rawatan yang lebih rapi bagi mengawal penyakit kulitnya serta memastikan yang keadaan ini tidak ada kaitan dengan penyakit-penyakit lain. Kes ini menunjukkan bagaimana penggunaan ubat tanpa nasihat doktor boleh menimbulkan masalah.

KES 2
Ali yang berusia empat bulan telah dibawa berjumpa doktor kerana menghidap penyakit kulit. Dia telah disahkan menghidap kudis buta (scabies) dan dibekalkan ubat krim gamaxane untuk disapukan ke seluruh badannya sekali sahaja. Seisi keluarganya telah juga mendapat rawatan yang sama. walaupun bagaimanapun, bapanya telah menyapukan krim itu setiap hari kerana difikirkan penyakit anaknya masih tidak sembuh. Mujurlah, pada hari yang keempat dia telah dibawa anaknya berjumpa doktor yang sama yang telah mengarahkan supaya penggunaan ubat itu diberhentikan.

Krim gamaxene hanya perlu disapukan sekali sahaja dan berupaya membunuh hama yang menyebabkan penyakit kudis buta itu. Ubat lain boleh diberi kepada Ali untuk menghilangkan gatal-gatal tersebut. Jika doktor dan bapa Ali berkomunikasi dengan lebih rapat lagi, masalah ini akan dapat diatasi dari awal-awal lagi. Apa yang dikhuatirkan kulit bayi amat nipis dan penggunaan krim tanpa mengikut peraturan yang telah ditetapkan boleh membawa kemudaratan. Laporan luar negeri menunjukkan bahawa ada bayi yang mengalami kerosakkan otak akibat terlalu banyak menggunakan krim ini. Walaupun hanya beberapa orang sahaja daripada lebih sejuta yang menerima rawatan mengalami keadaan ini, ia tetap perlu diberikan perhatian.

KES 3
Seorang kanak-kanak berusia enam tahun telah disahkan menghidap sejenis sawan. Dia telah diberikan ubat pencegah sawan, dilatin dan telah dirawat di wad. Selepas beberapa hari, sawannya telah dapat dikawal. Sirap dilatin telah dibekalkan untuk dibawa pulang. Selepas dua minggu, ibunya telah membawa dia berjumpa doktor sekali lagi kerana sawannya datang kembali dengan kerap sekali. Apabila ditanya tentang cara pemberian ubat, jelaslah bahawa si ibu tidak menggoncangkan botol sebelum memberikan ubat itu seperti yang disarankan oleh doktor. Setelah dia berbuat demikian, sawan anaknya telah berkurangan. Si ibu mungkin merasakan bahawa perkara seperti menggoncangkan botol sebelum memberi ubat kepada anaknya tidak penting. Jika botol tidak digoncangkan, ubat berkenaan menjadi kurang berkesan untuk merawat penyakit yang dialami. Sirap yang dituangkan ke dalam camca kurang padat dengan ubat dilatin menyebabkan si anak tidak mendapat dos yang mencukupi.

KES 4
Azam yang berusia lima tahun telah dibawa berjumpa pakar kanak-kanak kerana tubuhnya didapati terlalu pendek bagi usianya. Dia juga didapati terencat akal. Dari riwayat yang telah diperoleh, jelas bahawa pada usia lapan bulan, dia telah dikenal pasti mengalami keadaan yang dinamakan congenitl hypotthyroidism dan rawatan menggunakan ubat hormon tiroksida diberikan. Doktor pakar di Kuantan telah merawatnya selama empat tahun si anak tidak mendapat bekalan tiroksina yang amat penting bagi pertumbuhan dan perkembangan inteleknya. Wajahnya pada ketika itu menunjukkan ciri kanak -kanak yang menghidap congenital hypothyroidism. Selepas beberapa bulan ubat ini diberikan semula, wajahnya mula kelihatan lebih sempurna dan tubuhnya kelihatan lebih tinggi. Tetapi, prestasi inteleknya hanya setaraf dengan kanak -kanak yang berusia satu setengah tahun sahaja. Dia cuma boleh menuturkan dua atau tiga patah perkataan sahaja. Keadaan ini amat menyedihkan kerana dia sudah pasti akan mempunyai susuk tubuh yang lebih tinggi, wajah yang lebih sempurna serta prestasi intelek yang lebih baik jika bekalan ubat tiroksina itu tidak terputus sebegitu lama.

KES 5
Sara berusia lima tahun dan menghidap penyakit lelah. Dia sering batuk pada waktu malam menyebabkan dia tidak dapat tidur nyenyak. Dia telah diberikan beberapa jenis ubat untuk melegakan lelahnya tetapi pakar kanak-kanak yang merawatnya telah mencadangkan penggunaan sejenis ubat dalam kumpulan theophyline. Dari pengalaman pakar tersebut, ubat ini adalah mujarab untuk mengurangkan batuk pada waktu malam. Dia telah berpesan pada ibu bapa Sara supaya berhubung balik melalui telefon jika ada apa-apa masalah. Pada keesokan hari, bapanya telah menelefon pakar tersebut menyatakan anaknya sakit perut dan tidak dapat tidur malam. Pakar kanak-kanak itu telah menyuruh bapa sara menghentikan pemberian ubat tersebut untuk sementara waktu dan membawa anaknya ke klinik semula jika sakit perutnya tidak reda. Kebetulan, sakit perut anak itumula reda dari sibapa telah membuat temujanji untuk berjumpa doctor sekali lagi pada lain hari.

KES 6
Seorang bayi berusia lapan bulan dibawa oleh ibunya ke klinik kerana matanya merah. Doktor telah menyarankan rawatan bunat titik. Dua hari kemudian, si ibu telah membawa anaknya kelinik semula kerana mendapati kedua-dua belah mata anaknya bernanah. Apabila di soal ibunya telah menyatakan bahawa dia sebenarnya tidak berjaya menitikan ubat ke mata anaknya. Bayi itu telah dimasukkan ke wad untuk rawatan yang lebih agresif dan penyakit matanya mula reda setelah ubat titik digunakan. Ibunya berasa lebih yakin setelah ditunjuk ajar oleh jururawat. Rawatan seterusnya dapat dilakukan dirumah.

KES 7
Seorang bayi lelaki yang berusia empat bulan telah dibawa oleh ibunya ke klinik kerana menghidap batuk selesema. Doktor telah memberikan ubat batuk dan bayi itu telah sembuh dalam masa tiga hari. Tetapi hampir sebulan kemudian, batuknya berulang kembali dan si ibu telah menggunakan ubat lama yang masih ada lagi di rumahnya untuk merawat batuk anaknya itu. Batuk bayi itu tidak reda; sebaliknya menjadi semakin teruk. Tiga hari kemudian,si ibu membawa anaknya ke klinik semula. Doktor mengesyaki bayi tersebut menghidap batuk kokol (whooping cough) dan telah memasukkannya ke wad untuk mendapatrawatan intensif. Doktor mendapati bahawa bayi itu hanya mendapat satu dos perlalian sahaja untuk mencegah penyakit kokol. Oleh itu, dia masih lagi belum mendapat perlindungan yang mencukupi. Ibu itu tidak sepatutnya bertindak merawat bayinya sendiri sehingga menyebabkan rawatan untuk penyakit kokol oleh doktor dilengahkan.

Kekurangan hormon tiroksina di dalam tubuh bayi akan menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan inteleknya. Setiap kanak-kanak yang telah dikenal pasti mengalami masalah kekurangan hormon ini perlu mendapatkan bekalan ubat seumur hidup dan memerlukan penilaian pakar dari semasa kesemasa untuk memastikan ubat yang diberikan mencukupi bagi pertumbuhan perkembangan inteleknya. Di sini, saya ingin membentangkan satu kes benar yang tidak seharusnya berlaku jika ibu bapa faham tentang masalah ynga timbul dan mendapat nasihat doktor dari semasa kesemasa.

Hubungan di antara ibu bapa dan doktor amatlah penting dan bukan sahaja akan menyenangkan hati ibu bapa malah doktor juga. Kes dibawah menunjukkan bagaimana hubungan rapat di antara ibu bapa dan doktor boleh mengatasi perasaan khuatir ibu bapa.

Penggunaan antibiotik
Antibiotik digunakan untuk membunuh kuman bakteria. Ibu bapa sering berasa khuatir kalau-kalau anak mereka diberikan terlalu banyak antibiotik dan sering bertanya sendiri sama ada amalan ini sihat atau tidak. Kanak-kanak tidak seharusnya diberikan rawatan antibioyik setiap kali dia menghidap penyakit virus selesema. Anatibiotik tidak akan membunuh kuman bakteria tetapi doktor mungkin menyarankan penggunaan anatibiotik jika penyakit si anak itu kelihatan teruk. Penyakit lembam tonsil, lembam tekak atau sakit telinga boleh disebabkan oleh kuman bakteria atau virus.

Kadangkala sukar untuk membezakan antara satu penyakit dengan yang lain. Ujian makmal untuk mengenal pasti virus dan bakteria memakan masa dan juga menelan belanja yang tinggi. Oleh itu kadangkala doktor perlu menggunakan budi bicaranya untuk memutuskan sama ada antibiotik perlu digunakan atau tidak. Penggunaan antibiotik bergantung pada pernilaian doktor keatas keadaan bayi atau kanak-kanak tersebut. Risiko kesan sampingan antibiotik perlu sentiasa dipertimbangkan. Jangka masa antibiotik digunakan serta kosnya juga perlu diambil perhatian. Rasional penggunaan antibiotik perlu dijelaskan kepada ibu bapa supaya mereka dapat mematuhi arahan doktor. Seringkali, antibiotik yang dibekalkan tidak diberi kepada pesakit. Ini bukan sahaja membazir malah boleh meyebabkan kuman bakteria pada tubuh badan si anak itu lali terhadap antibiotik itu.

Keputusan menggunakan antibiotik akan dibuat oleh doktor setelah menimbangkan setiap faktor yang berkaitan dengan sesuatu penyakit yang dirawat.

Kesimpulan
Peranan ibu bapa amat penting bagi menjayakan rawatan ke atas kanak-kanak. Mereka perlu mendapatkan penjelasan daripada doktor supaya dapat memahami penyakit yang dihidapi oleh anak mereka dan program rawatan yang disarankan. Dengan ini, ibu bapa akan dapat meneruskan program rawatan anak dirumah. Komunikasi yang rapat diantara ibu bapa dan doktor amat penting kerana ini boleh mengelakkan berbagai-bagai masalah yang boleh mengakibatkan pembaziran tenaga, masa dan wang.

Sumber : Forwarded Email (http://www.hamidarshat.com)


~pemilihan nama anak tidak semesti daripada bahasa Arab~

November 27, 2006

Sesetengah ulama haramkan nama biasa digunakan orang kafir.

Nama adalah identiti dan nilai diri. Pengenalan awal diri seseorang bergantung kepada nama. Bahkan, harta pertama yang diberikan ayah atau ibu kepada anaknya adalah nama.

Islam menetapkan ibu bapa menamakan anak dengan nama yang bermaksud baik. Sifat manusia sukakan yang indah dan baik. Islam itu indah. Allah sukakan yang indah.

Justeru, pemilihan nama anak tidak harus dipandang ringan. Nama anak yang didaftarkan tidak boleh ditukar, melainkan atas keperluan tertentu.

Sebagai Muslim kita percaya kepada hari kebangkitan atau hari akhirat. Sesungguhnya nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat. Setiap anak Adam dibangkitkan dan dipanggil dengan nama seperti nama di dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Pemilihan nama anak secara tidak langsung melambangkan identiti ibu bapa. Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak mereka dengan penuh teliti dan berhemah.

Nama yang baik adalah doa, harapan ibu bapa kepada anak mereka. Dengan memberikan nama yang baik, mencerminkan niat suci ibu bapa supaya anaknya menjadi manusia yang baik seperti tersirat di sebalik namanya.

Sebaliknya, nama yang bermaksud buruk diumpamakan seperti sumpahan. Nama buruk mencemarkan taraf kedudukan manusia sebagai makhluk paling mulia di muka bumi.

Setiap ibu bapa ingin melihat permata hati mereka membesar dan hidup dalam baik, berjaya dan selamat. Permulaan hasrat itu perlu dilakukan dengan memilih nama yang baik. Nama dapat memberi pengaruh terhadap orang yang diberi nama.

Memilih nama baik untuk diberikan kepada anak adalah kewajipan ibu bapa. Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat mengenai kewajipannya sebagai ayah.

Lalu Rasulullah menjawab dengan sabda bermaksud: “Hendaklah kamu memperelokkan namanya, didik dan asuhlah dia serta letakkan dia di tempat sebaik-baiknya. ” (Hadis riwayat at-Tausi).

Proses memberi nama anak perlu dilakukan sebaik mungkin mengikut garis panduan yang diberikan Islam. Jangan pakai ikut suka hati tiru pengaruh Barat. Makin ramai tertarik dengan nama berbau kebaratan yang didakwa lebih moden dan sedap itu.

Pada zaman Rasulullah, ramai sahabat mempunyai nama tidak elok maknanya. Nama buruk itu dipilih ibu bapa ketika zaman jahiliah lagi yang tidak peduli soal pemilihan nama untuk anak. Justeru, Rasulullah mencadangkan nama baru untuk menggantikannya.

Diceritakan oleh Aisyah seperti diriwayatkan Tarmizi, bahawa Rasulullah biasa mengubah nama yang tidak baik kepada nama yang baik. Malah nama baik juga diberikan Rasulullah kepada nama tempat atau bandar.

Rasulullah pernah menukarkan nama anak perempuan Umar al-Khattab daripada Ashiyah yang bermaksud penderhaka kepada Jamilah bererti cantik.

Diriwayatkan juga pernah Rasulullah menukar seorang bernama Hazan (duka cita) kepada nama Sahel yang bermaksud mudah. Namun pemuda itu tidak mahu menukarkan nama diberikan bapanya itu. Akibatnya, dia sendiri mengakui perasaan duka cita tidak pernah lekang daripada dirinya.

Ketika Rasulullah tiba di Madinah, nama tempat itu ialah Yathrib yang bermakna `keburukan’. Lantas, Rasulullah menyatakan kepada penduduknya agar ditukar kepada nama baru iaitu Madinah yang membawa makna `yang indah’.

Jika nama tempat tidak boleh di nama dengan nama buruk, tentulah lebih lagi kepada manusia. Maruah manusia banyak bergantung kepada namanya. Penggunaan nama baik lambang betapa Islam amat mementingkan kepada imej baik. Nama baik diharapkan memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.

Pendapat lain mengatakan nama bayi perlu diberikan pada hari ketujuh selepas kelahirannya. Hujah ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut setiap anak bergantung kepada akikahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuh kelahirannya dan dinamakan serta dicukur kepalanya.

Pemilihan nama anak mestilah indah disebut dan membawa makna yang baik. Maksud indah ialah senang disebut, mudah diingati dan ringkas. Nama itu hendaklah melambangkan nama yang biasa digunakan orang Islam.

Nama yang biasa digunakan orang kafir sebagai melambangkan agama mereka hendaklah dielak. Sesetengah ulama mengharamkan penggunaan nama yang jelas melambangkan penganut agama lain.

Namun, nama orang Islam tidak semestinya dalam bahasa Arab seperti yang difahami sesetengah orang. Bagaimanapun, lebih elok jika nama yang dipilih untuk anak dirujuk maknanya mengikut bahasa Arab. Ia penting bagi mengelak makna buruk dalam bahasa Arab.

Didapati banyak nama Melayu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab mempunyai makna buruk dan mengaibkan, biarpun amat baik bunyinya dalam sebutan Melayu. Nama binatang, perbuatan buruk, maksud buruk dan nama berhala banyak dinamakan kepada anak tanpa diketahui maksudnya oleh
ibu bapa ketika menamakan anak mereka.

Nama dalam bahasa Arab hendaklah dieja dan disebut betul-betul. Tambahan atau tertinggal satu huruf membawa makna berbeza. Justeru, elok jika dirujuk dulu kepada pakar bahasa Arab bagi mendapatkan ejaan dan sebutan tepat nama untuk mengelak salah makna.

Sekarang ini ramai ibu bapa yang sengaja menambah huruf kepada ejaan nama anak supaya kelihatan agak pelik dan panjang. Penambahan huruf q, e, y, f dan z banyak dilakukan kepada nama kerana dikatakan menarik. Banyak masalah timbul akibatnya. Pemilihan nama anak juga perlu
menunjukkan perbezaan jantina. Pemilihan nama anak lelaki dengan nama melambangkan anak perempuan adalah tindakan mengaibkan anak. Anak akan berdepan dengan masalah pengenalan identiti jantina.

Biarpun, dalam masyarakat Islam di Malaysia penggunaan bin dan binti untuk membezakan lelaki dan perempuan, penggunaannya hanya digunakan dalam urusan rasmi atau ketika nama ditulis. Sedangkan ketika panggilan harian tidak disebut bin atau binti.

Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan anak. Hanya ibu bapa tidak senonoh memilih nama tidak baik untuk anaknya. Nama Allah berjumlah 99 juga perlu dihindari daripada diberikan kepada anak. Nama itu hanya tertentu untuk Allah. Dijelaskan
bahawa Rasulullah pernah menukarkan nama seorang sahabat yang digelarkan Abul Hakam kepada Abu Syuraih. Nama Abul Hakam seperti nama Allah al-Hakam yang bermaksud terserah kepada-Nya segala hukum.

Nama yang boleh menimbulkan rasa sombong juga ditegah diberikan kepada anak. Ini berdasarkan kepada kisah Rasulullah yang bertemu seorang wanita bernama `Barrah’ bererti `Yang selalu berbuat baik’. Lantas Rasulullah memanggil nama wanita itu Juwairiyah.

Ibu bapa juga dinasihatkan mengelak daripada menggunakan nama panjang yang mengandungi gabungan beberapa nama. Ia biasanya berlaku apabila ibu dan bapa tidak sepakat memilih nama terbaik.

Ibu dan bapa perlu bertolak ansur untuk menentukan nama bagi anak yang baru dilahirkan. Bersabarlah, nama pilihan masing-masing boleh digunakan kepada anak seterusnya.

Islam tidak membenarkan penggunaan nama yang mendatangkan masalah untuk disebut dan diingati. Pemilihan nama panjang membuktikan kecelaruan fikiran ibu bapa dalam memilih nama anak.

Soal memilih nama anak bukan perkara mudah. Berilah nama yang terbaik dan menggembirakan anak apabila dewasa nanti. Ada anak berusaha menukar nama selepas menyedari masalah timbul akibat nama yang diberikan oleh ibu bapa.

INTI PATI

# Nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat.
# Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak dengan penuh teliti dan berhemah.
# Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan anak.
# Ada nama Melayu diterjemahkan ke bahasa Arab mempunyai makna buruk dan memalukan.
# Nama baik boleh memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.

Sumber: Forwarded Email


~bila kandungan terlebih bulan~

November 22, 2006

Menunggu kelahiran cahaya mata yang sedang dikandung merupakan satu peristiwa yang mendebarkan tetapi menggembirakan.

Apatah lagi dewasa ini boleh dikatakan lebih ramai pasangan yang memulakan institusi kekeluargaan pada umur lebih matang setelah membina kerjaya masing-masing, berbanding zaman ibu bapa mahu pun datuk nenek kita dahulu.

Ramai ibu melahirkan zuriat mereka di antara minggu ke-38 hingga ke-42 dan tidak ramai yang bersalin pada tarikh yang dijangkakan oleh doktor yang merawat.

Adalah normal sekiranya bakal ibu atau ibu-ibu melahirkan anak mereka tiga minggu sebelum ataupun dua minggu selepas jangkaan asal.

*Tarikh jangkaan kelahiran

“Purata tempoh mengandung adalah selama 280 hari atau bersamaan 40 minggu – dikira dari hari pertama datangnya haid yang terakhir. Hanya 5 peratus sahaja kelahiran berlaku pada tarikh yang dijangkakan.

“Tarikh jangka kelahiran sebenarnya satu panduan kepada doktor untuk memeriksa kemajuan kandungan puan, tumbesaran janin serta umur semasa,’’ kata Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurut Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia itu, kebiasaannya doktor akan menggunakan pelbagai petunjuk untuk mendaftar umur semasa janin serta tarikh kelahirannya.

“Saiz rahim juga dapat memberikan anggaran umur kandungan. Ultrasound yang biasa digunakan di klinik perbidanan juga dapat memberikan umur serta tarikh kelahiran, dengan ralat yang diambil kira mengikut trimester kandungan.

“Ibu-ibu haruslah bergegas untuk pemeriksaan mengandung seawal yang mungkin kerana jika lambat, penentuan tarikh akan menjadi lebih sukar dan mungkin tidak tepat,’’ ujarnya.

*Kandungan melebihi penggal

Beliau berkata, kandungan dikatakan melebihi penggal sekiranya ia menjangkau 42 minggu. Berdasarkan kebanyakan amalan perbidanan di Malaysia, ibu-ibu akan didorong untuk menjalani induksi (cetusan) kelahiran sebelum penggal ini berlalu.

“Bila wanita sebenarnya mengandung mungkin tidak diketahui. Justeru, doktor dan jururawat cuba membuat ramalan menggunakan parameter-parameter tertentu.

“Dalam kebanyakan kes, doktor mahupun jururawat meragui akan kesihatan bayi di dalam kandungan sekiranya melebihi penggal 42 minggu,’’ jelas Dr. Shah Reza.

*Mengira tarikh kelahiran

Tarikh boleh diramalkan dengan mengira ke hadapan 40 minggu (280 hari) dari hari pertama haid terakhir.

Ini berdasarkan kenyataan bahawa persenyawaan berlaku dua minggu selepas hari pertama haid. Cara begini, anda diramalkan untuk membawa kandungan selama 38 minggu.

Cara lain untuk mengira tarikh kelahiran adalah seperti berikut:

1. Pastikan hari pertama haid puan yang terakhir.
2. Campurkan tujuh hari.
3. Tolak tiga bulan.
4. Campur setahun

Sebagai contohnya:

1. 1 April 2006 + tujuh hari = 8 April 2006
2. 8 April 2006 – tiga bulan = 8 Januari 2006
3. 8 Januari 2006 + setahun = 8 Januari 2007

Sekarang, pengiraan telah meramalkan kelahiran anak puan pada 8 Januari 2007.

Sekiranya kandungan melebihi penggal iaitu melebihi 42 minggu, risiko-risiko seperti sindrom dysmaturity akibat ketidakupayaan uri menyebabkan stres dan kekurangan oksigen pada janin; bayi tertelan tinja atau najis pertama bayi baru lahir yang lekit dan berwarna hijau tua atau; makrosomia di mana janin menjadi besar. Risiko kelahiran melalui pembedahan turut meningkat.

*Risiko mengandung melebihi penggal

Dr. Shah Reza menerangkan: “Risiko terhadap kandungan dan juga ibu bertambah sekiranya melebihi penggal 42 minggu. Lagi lama kandungan dibiarkan, lagi bertambahlah permasalahan, walaupun bukan semuanya berakhir sedemikian.

“Uri mungkin tidak berfungsi sebaik mungkin manakala air amniotik juga berkurangan. Ini boleh menyebabkan tekanan dan tersepit semasa berlakunya kontraksi (pengecutan) dan boleh memudaratkan kandungan.’’

*Ujian-ujian

Apabila ibu-ibu menghampiri tempoh jangkaan kelahiran, ada beberapa ujian yang mungkin terpaksa dilalui bagi menentukan kesejahteraan bayi di dalam kandungan.

Ujian seperti `pergerakan harian janin’ boleh dilakukan sendiri di rumah. Ujian-ujian lain seperti kardiotokografi untuk tegasan tanpa kontraksi, profil biofizikal dan ultrasound perlu dilakukan oleh pakar.

“Pergerakan harian janin mengambil kira pergerakan bayi di dalam kandungan yang lazimnya lebih kurang sama bilangannya, setiap hari.

“Doktor atau jururawat akan memberitahu anda bagaimana dan bila pergerakan ini perlu diamati dan direkodkan,’’ kata Dr. Shah Reza sambil menambah, suami juga boleh berperanan merasai pergerakan ini dengan meletakkan tangan pada perut isteri.

Mengulas lanjut, pengawasan janin secara elektronik pula memerlukan satu peralatan khas yang mengesan denyutan jantung anak dan juga kontraksi pada bahagian atas rahim.

1. Ujian tegasan tanpa kontraksi – ujian ini merekodkan perubahan pada denyutan jantung, serta kontraksi yang berlaku.

Apabila janin bergerak, denyutan nadinya berubah dan ini memberikan rangsangan positif pada kertas pengesanan.

2. Profil biofizikal – ujian ini mencantumkan ujian tegasan tanpa kontraksi dengan ujian ultrasound. Cecair likuor, pergerakan pernafasan janin dan nada otot-otot diperhatikan.

Ujian secara elektronik ini memerlukan kepakaran untuk ditafsirkan, doktor pakar perbidanan anda bertanggungjawab terhadap ujian secara elektronik ini.

Untuk pergerakan harian janin pula, kata Dr. Shah Reza, wanita hamil sendiri perlu mengamati pergerakan bayi yang dikandung.

“Satu carta pergerakan akan diberikan, bayi mempunyai banyak anggota dan sendi-sendi yang bergerak dalam satu masa.

“Untuk lebih mudah, anggaplah sebarang pergerakan dalam satu julat masa 15 minit sebagai satu kelompok pergerakan, jadi dalam satu jam ada empat julat 15 minit.

“Ini bermakna pengamatan pergerakan adalah sebanyak empat kali,’’ jelas beliau.

Bayi di dalam kandungan juga mempunyai masa tidur tersendiri yang mungkin berlangsung dari 20 hingga 40 minit.

Pergerakan juga lebih aktif apabila ibu-ibu berada dalam keadaan yang kenyang. Maklumkan dengan segera kepada doktor atau jururawat sekiranya pola dan ritma pergerakan berubah dari hari sebelumnya.

*Induksi kelahiran

“Doktor mungkin akan menasihati anda agar menjalani induksi (permulaan bersalin secara buatan) kelahiran sekiranya puan melebihi penggal mengandung.

“Induksi ini menyebabkan perubahan pada pangkal rahim untuk persedian kelahiran melalui faraj,’’ Dr. Shah Reza.

Secara amnya, induksi ini bergantung pada faktor-faktor tertentu seperti:

* Keadaan semasa anda serta bayi yang dikandung
* Tempoh mengandung sekarang
* Perubahan pada pangkal rahim
* Ujian-ujian penentuan kesejahteraan janin.

Kaedah-kaedah induksi yang digunakan untuk menyebabkan perubahan pada pangkal rahim termasuklah:

* Prostaglandin dalam bentuk pil yang dimasukkan melalui faraj, menyebabkan pangkal rahim menjadi lembut sekali gus membolehkan kontraksi bermula.
* Membocorkan kantung amniotik iaitu kantung seperti belon berisi air yang mengelilingi janin yang sedang membesar serta melindunginya daripada tekanan luaran.
Biasanya anda akan merasai kontraksi selepas beberapa jam kantung tersebut dibocorkan.
* Menggunakan ubat oksitosin yang diberikan melalui sistem pembuluh darah di tangan anda.

Kata Dr. Shah Reza, langkah-langkah tersebut di atas bertujuan agar kelahiran dapat berlaku secara normal.

“Walaubagaimanapun, kelahiran melalui pembedahan mungkin terpaksa diambil sekiranya situasi semasa (sama ada ibu atau bayi) bertukar menjadi situasi kecemasan yang boleh memudaratkan jika ditunggu lebih lama.’’

Doktor pakar perbidanan sudah tentu mahukan seorang ibu yang selamat dan bayi yang sihat melalui proses bersalin. Maklumlah, perjalanan mengandung anda sangat lama iaitu purata 280 hari!

Sumber:Utusan Malaysia


~tanda lahir tidak membahayakan bayi~

November 15, 2006

Apa dia tanda lahir ?

SECARA umum, tanda lahir pada bayi yang baru dilahirkan bukan masalah besar. Ia jarang berlaku tetapi mungkin mengejutkan ibu bapa yang selama ini tidak pernah terfikir, bayi mereka lahir dengan tanda di leher, muka atau belakang tengkuk.

Tanda lahir boleh terjadi sebelum dia dilahirkan atau selepas kelahiran. Sebenarnya tidak ada cara menghalang tanda lahir. Ia juga bukan disebabkan genetik tetapi bagaimana ia terjadi tidak dapat dipastikan secara khusus.

Kebanyakan tanda lahir akan hilang apabila kanak-kanak berusia lima atau sembilan tahun tetapi ada juga tanda lahir yang bersifat dramatik dan menyebabkan masalah kosmetik dan kemungkinan ia adalah tanda barah.

Jenis tanda lahir

1) Tanda lahir merah

Ia disebabkan salur darah yang berada dekat dengan permukaan kulit. Ia juga dikenali sebagai ‘vascular birthmarks’ (tanda lahir vaskular). Tanda lahir jenis ini boleh dibahagikan kepada dua jenis; macular dan hemangioma.

  • Macular – Ia juga dikenali sebagai ‘stork bite kisses’. Ia biasanya muncul di belakang tengkuk dan sangat biasa bagi bayi baru lahir. Tanda lahir begini tidak memerlukan rawatan khusus kerana pada kebiasaannya ia akan hilang dengan sendirinya.
  • Hemangiomas – boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Satu daripadanya ‘strawberry hemangioma’. Tanda lahir ini selalunya berwarna merah cerah dan kelihatan menonjol pada permukaan kulit. Ada sesetengah ‘strawberry hemangiomas’ akan hilang dengan sendirinya apabila kanak-kanak itu mencecah usia lima tahun. Tetapi kebanyakan strawberry hemangiomas akan hilang pada usia sembilan tahun.Satu lagi jenis hemangioma yang kelihatan di bawah kulit. Ia dikenali sebagai ‘cavernous hemangioma’. Warnanya agak berlainan dan ia tidak boleh hilang dengan sendirinya.Port-Wine Stains – satu lagi jenis hemangiomas. Ia tidak tertonjol atau tidak berada di bahagian dalam kulit. Port-wine stain biasanya berwarna seakan-akan ungu bercampur merah atau merah gelap. Ia biasanya kelihatan di bahagian tengkuk atau muka.

    2) Tanda lahir pigmen

    Ia merujuk kepada sebahagian kecil kulit yang warnanya berbeza dengan warna kulit dominan. Tanda lahir ini juga selalu dirujuk sebagai ‘cafe-au-lait’ kerana selalunya ia lebih gelap dari kulit dominan.

    Tanda lahir begini kadang kala boleh dikaitkan dengan penyakit keturunan yang menyebabkan pertumbuhan tisu saraf. Jika tanda begini kelihatan pada anak anda, pertimbangkan untuk membawanya berjumpa pakar.

    Satu lagi tanda lahir yang lebih dikenali sebagai tahi lalat. Tahi lalat muncul selepas bayi dilahirkan dan selalunya ia tidak mengundang masalah. Tetapi jika ia membesar, kemungkinan ia adalah tanda barah.

    Kaedah Rawatan

    Jika tidak mendatangkan sebarang masalah, tanda lahir sebenarnya tidak perlu dibuang. Tetapi jika ibu bapa berpendapat sebaliknya, kebanyakan pengamal perubatan mengakui program rawatan biasanya lebih berkesan ketika masih kanak-kanak. Bagaimana pun ia bergantung kepada usia pesakit, saiz tanda lahir dan kedudukannya.

    Amalan biasanya yang dilakukan adalah dengan rawatan laser. Bagi kebanyakan tanda lahir seperti hemangiomas dan port wine stain misalnya boleh dirawat menggunakan rawatan laser, Intense Pulsed Light (IPL) yang menawarkan kesan lebih baik dan kekal.

    Kaedah rawatan ini biasanya akan mengenal pasti saluran darah yang mengembang di bawah permukaan kulit bagi menghapuskan akar tanda lahir. Ia tidak menyakitkan dan hanya mengambil masa sekitar 30 minit dan kadang kala rawatan susulan diperlukan.

    Sumber:Berita Harian