~10 perkara perlu dielak ketika hamil~

Disember 15, 2006

1. Aspirin – akan menyebabkan jumlah cecair amnion menjadi sedikit, mengurangkan aliran darah di dalam otak bayi.

2. Alkohol – meracun sel-sel di dalam tubuh janin yang sedang membesar.

3. Litium – ubat yang berkesan untuk merawat masalah mood yang tidak menentu dan boleh menjejaskan perkembangan jantung bayi.

4. Vitamin A – jika pengambilannya berlebihan melebihi 8000 IU sehari, risiko untuk bayi mendapat keabnormalan urinari dan trak genital semakin meningkat.

5. Tetrasaiklin – sejenis antibiotik untuk merawat jangkitan dada, faraj dan ubat jerawat. Jika diambil pada trimester kedua dan ketiga, ia boleh menjejaskan perkembangan gigi bayi dan menyebabkan giginya berwarna kuning.

6. Ubat penahan sakit – boleh menyebabkan penguncupan salur darah penting di jantung bayi yang sepatutnya hanya menguncup selepas dilahirkan.

7. Rokok – ia menganggu pengaliran oksigen kepada janin, janin cenderung lahir tidak cukup bulan, kecil, dan ringan, mudah keguguran, bayi cacat atau mati sebaik dilahirkan.

8. Hentikan kegiakan lasak – seperti bermain tenis, menunggang kuda atau kerja yang memerlukan anda berdiri sepanjang masa.

9. Minuman tertentu – kurangkan pengambilan minuman bergas, berkafeina, teh herba kerana dikhuatiri boleh mengancam bayi dalam kandungan.

10. Makanan – makanan yang dipanaskan semula dikhuatiri mengandungi bakteria dan tidak baik untuk kesihatan. Makanan dalam tin biasanya tinggi kandungan gula, garam, perisa, lemak, bahan awet dan penawar tiruan. Gula boleh menambahkan berat badan.

Sumber: Forwarded Email

Advertisements

~posisi tidur ibu hamil~

Disember 11, 2006

Sebaiknya ibu hamil tidur dalam keadaan mengiring ke kanan ataupun ke kiri. Ini kerana ia dapat mengelakkan rahim daripada menekan pada pembuluh darah besar yang terdapat di belakang rahim.

Jadi lebih banyak darah akan sampai ke jantung kanan dan seterusnya kepada bayi. Cari posisi yang paling selesa. Alaslah dengan bantal di bahagian belakang untuk bantu menyokong dan mengurangkan sakit belakang.


~cara kurangkan risiko kecacatan pada janin~

September 7, 2006

  • Tentukan anda mendapat suntikan rubella 3 bulan sebelum hamil, sekiranya belum pernah terkena rubella.
  • Elakkan daripada mencuci najis kucing kerana risiko penyakit toxoplasmosis. Jangkitan ini boleh membawa kepada masalah kecacatan penglihatan dan otak
  • Elakkan memakan makanan laut mentah atau kurang masak, keju lembut ( soft cheese).
  • Hindari daripada merokok atau berada dalam tempat yang mempunyai asap rokok serta mengambil alkohol. Asap rokok dan alkohol boleh membantutkan pertumbuhan janin dan menyebabkan kerosakan otak
  • Ambil asid folik sebelum hamil untuk mengurangkan risiko masalah ‘spina bifida’ pada janin.
  • Elakkan daripada mengambil sebarang ubat sama ada antibiotik ataupun ubatan tradisional tanpa nasihat doktor.
  • Tentukan anda mendapat nasihat serta rawatan susulan yang rapi daripada pakar sakit puan sekiranya ingin hamil selepas umur 35 tahun.

  • ~kreativiti hias bilik tidur anak~

    Jun 12, 2006

    Ibu bapa perlu mengenal pasti bilik bersesuaian sebelum memilih perabot dan kelengkapan perlu untuk anak mereka

    IBU BAPA yang pertama kali menimang bayi tentunya ghairah merancang bilik yang selesa dan cantik untuk cahaya mata mereka.

     

    Mengenal pasti bilik bersesuaian untuk bayi dan kanak-kanak penting sebelum memilih perabot yang bakal dimuatkan dalam bilik berkenaan.

    Sebelum itu, mereka mesti pastikan bilik bayi berhampiran bilik utama supaya tidak mengganggu ahli keluarga lain jika anak menangis.

    Ketika menghias bilik tidur bayi pula, ibu bapa perlu berfikir panjang sama ada bilik yang sama akan digunakan dalam tempoh lama atau kekal sebagai bilik tidur bayi.

    Antara kelengkapan dan perhiasan tambahan sebagai peneman bilik tidur bayi selain katil dan almari pakaian ialah patung, buku cerita, peti mainan, lukisan berbingkai, meja dan kerusi serta tong sampah.

    Selain pemilihan bilik dan perabot dan kelengkapan, bilik bayi yang sempurna ialah yang mempunyai sistem pengudaraan semula jadi yang mencukupi. Ini bermakna, suasana bilik tidak bergantung kepada cahaya lampu atau sistem pengudaraan daripada kipas dan alat penghawa dingin semata-mata.

    Pada peringkat awal, ibu bapa tidak perlu terlalu cerewet memilih warna atau perabot yang terlalu padat. Cukup sekadar menghiasinya dengan warna asas yang lembut.


    Bagi mewujudkan kelainan, disarankan supaya menggabungkan warna merah jambu dan biru laut yang sudah menjadi warna pengenalan bagi bayi lelaki dan perempuan.

    Jika bercadang menggunakan kertas dinding yang bermotifkan alam semula jadi termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan atau watak kartun, pastikan coraknya sesuai dengan peringkat usia bayi.

    Bagi bilik kanak-kanak berusia empat tahun ke atas, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah keselamatan kerana mereka sedang melalui proses pembelajaran. Bilik mereka biasanya dijadikan tempat bermain dan belajar selain tempat tidur.

    Justeru, tidak perlu diletakkan perabot mahal atau berjenama, memadai dengan yang berharga sederhana tetapi kukuh dan lasak.

    Pengarah Urusan Medium Design Associate, Muzzammil Muhamad, berkata perabot di bilik bayi biarlah daripada jenis boleh ubah suai untuk jangka masa panjang kerana bayi cepat membesar, manakala bagi kanak-kanak sediakan ukuran perabot yang sesuai dengan usia mereka dan kegiatan yang dilakukan.

    “Jika kanak-kanak lasak, pastikan kelengkapan dipilih teguh, tahan lama dan dapat menampung berat badan mereka bagi mengelakkan cedera jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

    “Bagi ibu bapa yang mempunyai bajet yang rendah tetapi ingin menghias bilik bayi mereka pula, tidak perlu risau kerana di pasaran sekarang banyak perabot dan peralatan yang boleh suai dan padan. Apa yang penting adalah kreativiti,” katanya.


    ~panduan membeli pakaian untuk bayi~

    Jun 1, 2006

    tips

    Bukan hanya corak dan warna baju yang harus dititikberatkan dalam memilih pakaian untuk bayi anda. Sebaiknya ciri-ciri seperti mudah dipakai, mudah ditanggalkan, fabrik jenis yang membolehkan bayi anda menyesuaikan suhu badannya dengan baik. Jika boleh elakkan daripada menggunakan sebarang serbuk biologi atau pelembut kain ketika mencuci pakaian bayi kerana dikhuatiri akan merengsa kulit bayi yang sensitif dan lembut itu. Terdapat beberapa ciri-ciri yang harus dijadikan panduan untuk memilih baju bayi anda. Ikuti panduan seperti berikut:

    baju

    1) Jenis fabrik:
    Pilihan pakaian jenis kain kapas (100% kapas)

    2) Berleher lebar:
    Cari pilihan pakaian yang berleher lebar atau berbalut supaya kepala bayi dapat masuk dengan mudah menerusinya dan berlengan lebar.

    3) Butang:
    Baju yang mempunyai butang di bahagian hadapan baju sesuai dan mudah dipakai sepanjang enam bulan pertama usia bayi. Manakala baju yang mempunyai butang pada bahagian bawah memudahkan kerja menukar baju dan lampin.

    4) Saiz:
    Baju bayi tidak boleh ketat. Pilihan yang longgar memudahkan bayi memakainya dan mengelak daripada peluh yang boleh menyebabkan ruam pada kulitnya.


    ~Tahukah Anda…~

    Jun 1, 2006

    tips

    “Tempoh 12 BULAN KEHIDUPAN BAYI merupakan peringkat PERKEMBANGAN OTAK paling penting.”

    Pa&Ma – Mei 2006


    ~8 tips hamil secara sihat~

    Mei 24, 2006

    undefined

    Utusan Malaysia – 19/08/2001

    ANDA disahkan hamil? Apa yang penting anda lakukan sepanjang tempoh kehamilan ialah menjaga kesihatan fizikal dan emosi sebaik-baiknya.

    Seperti wanita lain, anda juga sebenarnya berpotensi melahirkan bayi yang sihat dan bebas daripada sebarang masalah sepanjang hamil jika anda mengamalkan beberapa tips berikut seperti:

    Memilih pakar perbidanan
    Memilih pakar perbidanan pada peringkat awal dapat membantu mengeratkan hubungan dalam menyiapkan diri sebelum proses kelahiran.

    Pada masa yang sama, penjagaan pranatal yang baik penting untuk kesihatan bayi.

    Diet yang seimbang
    Pastikan anda mengambil diet yang seimbang seperti protein dan mengawal kalori selain mengambil vitamin dan garam galian lain seperti zat besi dan asid folik.

    Mengambil vitamin pranatal
    Wanita hamil perlu mengambil vitamin ini lebih daripada wanita biasa terutama asid folik kerana ia mengurangkan risiko janin mengalami kecacatan tiub saraf, contohnya spina bifida.

    Melakukan senaman secara tetap
    Program senaman yang sesuai bukan saja dapat memberi anda kekuatan dengan berat badan yang baru semasa hamil, malah dapat mengurangkan tekanan semasa proses kelahiran.

    Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan serotonin iaitu bahan kimia yang dikaitkan dengan perubahan mood semasa hamil.

    Elakkan mengambil minuman keras
    Kajian mendapati wanita yang mengambil minuman keras semasa hamil meningkatkan risiko melahirkan bayi yang mengalami kerencatan mental dan fizikal, masalah tingkah laku, rupa paras dan kecacatan jantung.

    Kurangkan pengambilan kafein
    Pengambilan kafein dalam jumlah yang banyak boleh meningkatkan risiko untuk anda melahirkan bayi yang kurang berat badannya.

    Berhenti merokok
    Tabiat merokok meningkatkan risiko keguguran, kehamilan ektopik, pendarahan faraj, bayi lahir tidak cukup bulan, kematian bayi dan sebagainya.

    Kajian juga mendapati wanita yang merokok 20 batang atau lebih sehari lebih cenderung melahirkan anak yang sumbing.

    Rehat yang mencukupi
    Tidur yang mencukupi penting untuk kesihatan diri dan janin dalam kandungan. Jika anda tidak boleh tidur, angkat kaki ke atas sambil membaca buku atau majalah.

    Kaedah berehat seperti yoga, regangan, menarik nafas dalam-dalam dan urutan merupakan cara terbaik untuk menangani tekanan dan tidur yang baik pada waktu malam.