~bila kandungan terlebih bulan~

November 22, 2006

Menunggu kelahiran cahaya mata yang sedang dikandung merupakan satu peristiwa yang mendebarkan tetapi menggembirakan.

Apatah lagi dewasa ini boleh dikatakan lebih ramai pasangan yang memulakan institusi kekeluargaan pada umur lebih matang setelah membina kerjaya masing-masing, berbanding zaman ibu bapa mahu pun datuk nenek kita dahulu.

Ramai ibu melahirkan zuriat mereka di antara minggu ke-38 hingga ke-42 dan tidak ramai yang bersalin pada tarikh yang dijangkakan oleh doktor yang merawat.

Adalah normal sekiranya bakal ibu atau ibu-ibu melahirkan anak mereka tiga minggu sebelum ataupun dua minggu selepas jangkaan asal.

*Tarikh jangkaan kelahiran

“Purata tempoh mengandung adalah selama 280 hari atau bersamaan 40 minggu – dikira dari hari pertama datangnya haid yang terakhir. Hanya 5 peratus sahaja kelahiran berlaku pada tarikh yang dijangkakan.

“Tarikh jangka kelahiran sebenarnya satu panduan kepada doktor untuk memeriksa kemajuan kandungan puan, tumbesaran janin serta umur semasa,’’ kata Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurut Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia itu, kebiasaannya doktor akan menggunakan pelbagai petunjuk untuk mendaftar umur semasa janin serta tarikh kelahirannya.

“Saiz rahim juga dapat memberikan anggaran umur kandungan. Ultrasound yang biasa digunakan di klinik perbidanan juga dapat memberikan umur serta tarikh kelahiran, dengan ralat yang diambil kira mengikut trimester kandungan.

“Ibu-ibu haruslah bergegas untuk pemeriksaan mengandung seawal yang mungkin kerana jika lambat, penentuan tarikh akan menjadi lebih sukar dan mungkin tidak tepat,’’ ujarnya.

*Kandungan melebihi penggal

Beliau berkata, kandungan dikatakan melebihi penggal sekiranya ia menjangkau 42 minggu. Berdasarkan kebanyakan amalan perbidanan di Malaysia, ibu-ibu akan didorong untuk menjalani induksi (cetusan) kelahiran sebelum penggal ini berlalu.

“Bila wanita sebenarnya mengandung mungkin tidak diketahui. Justeru, doktor dan jururawat cuba membuat ramalan menggunakan parameter-parameter tertentu.

“Dalam kebanyakan kes, doktor mahupun jururawat meragui akan kesihatan bayi di dalam kandungan sekiranya melebihi penggal 42 minggu,’’ jelas Dr. Shah Reza.

*Mengira tarikh kelahiran

Tarikh boleh diramalkan dengan mengira ke hadapan 40 minggu (280 hari) dari hari pertama haid terakhir.

Ini berdasarkan kenyataan bahawa persenyawaan berlaku dua minggu selepas hari pertama haid. Cara begini, anda diramalkan untuk membawa kandungan selama 38 minggu.

Cara lain untuk mengira tarikh kelahiran adalah seperti berikut:

1. Pastikan hari pertama haid puan yang terakhir.
2. Campurkan tujuh hari.
3. Tolak tiga bulan.
4. Campur setahun

Sebagai contohnya:

1. 1 April 2006 + tujuh hari = 8 April 2006
2. 8 April 2006 – tiga bulan = 8 Januari 2006
3. 8 Januari 2006 + setahun = 8 Januari 2007

Sekarang, pengiraan telah meramalkan kelahiran anak puan pada 8 Januari 2007.

Sekiranya kandungan melebihi penggal iaitu melebihi 42 minggu, risiko-risiko seperti sindrom dysmaturity akibat ketidakupayaan uri menyebabkan stres dan kekurangan oksigen pada janin; bayi tertelan tinja atau najis pertama bayi baru lahir yang lekit dan berwarna hijau tua atau; makrosomia di mana janin menjadi besar. Risiko kelahiran melalui pembedahan turut meningkat.

*Risiko mengandung melebihi penggal

Dr. Shah Reza menerangkan: “Risiko terhadap kandungan dan juga ibu bertambah sekiranya melebihi penggal 42 minggu. Lagi lama kandungan dibiarkan, lagi bertambahlah permasalahan, walaupun bukan semuanya berakhir sedemikian.

“Uri mungkin tidak berfungsi sebaik mungkin manakala air amniotik juga berkurangan. Ini boleh menyebabkan tekanan dan tersepit semasa berlakunya kontraksi (pengecutan) dan boleh memudaratkan kandungan.’’

*Ujian-ujian

Apabila ibu-ibu menghampiri tempoh jangkaan kelahiran, ada beberapa ujian yang mungkin terpaksa dilalui bagi menentukan kesejahteraan bayi di dalam kandungan.

Ujian seperti `pergerakan harian janin’ boleh dilakukan sendiri di rumah. Ujian-ujian lain seperti kardiotokografi untuk tegasan tanpa kontraksi, profil biofizikal dan ultrasound perlu dilakukan oleh pakar.

“Pergerakan harian janin mengambil kira pergerakan bayi di dalam kandungan yang lazimnya lebih kurang sama bilangannya, setiap hari.

“Doktor atau jururawat akan memberitahu anda bagaimana dan bila pergerakan ini perlu diamati dan direkodkan,’’ kata Dr. Shah Reza sambil menambah, suami juga boleh berperanan merasai pergerakan ini dengan meletakkan tangan pada perut isteri.

Mengulas lanjut, pengawasan janin secara elektronik pula memerlukan satu peralatan khas yang mengesan denyutan jantung anak dan juga kontraksi pada bahagian atas rahim.

1. Ujian tegasan tanpa kontraksi – ujian ini merekodkan perubahan pada denyutan jantung, serta kontraksi yang berlaku.

Apabila janin bergerak, denyutan nadinya berubah dan ini memberikan rangsangan positif pada kertas pengesanan.

2. Profil biofizikal – ujian ini mencantumkan ujian tegasan tanpa kontraksi dengan ujian ultrasound. Cecair likuor, pergerakan pernafasan janin dan nada otot-otot diperhatikan.

Ujian secara elektronik ini memerlukan kepakaran untuk ditafsirkan, doktor pakar perbidanan anda bertanggungjawab terhadap ujian secara elektronik ini.

Untuk pergerakan harian janin pula, kata Dr. Shah Reza, wanita hamil sendiri perlu mengamati pergerakan bayi yang dikandung.

“Satu carta pergerakan akan diberikan, bayi mempunyai banyak anggota dan sendi-sendi yang bergerak dalam satu masa.

“Untuk lebih mudah, anggaplah sebarang pergerakan dalam satu julat masa 15 minit sebagai satu kelompok pergerakan, jadi dalam satu jam ada empat julat 15 minit.

“Ini bermakna pengamatan pergerakan adalah sebanyak empat kali,’’ jelas beliau.

Bayi di dalam kandungan juga mempunyai masa tidur tersendiri yang mungkin berlangsung dari 20 hingga 40 minit.

Pergerakan juga lebih aktif apabila ibu-ibu berada dalam keadaan yang kenyang. Maklumkan dengan segera kepada doktor atau jururawat sekiranya pola dan ritma pergerakan berubah dari hari sebelumnya.

*Induksi kelahiran

“Doktor mungkin akan menasihati anda agar menjalani induksi (permulaan bersalin secara buatan) kelahiran sekiranya puan melebihi penggal mengandung.

“Induksi ini menyebabkan perubahan pada pangkal rahim untuk persedian kelahiran melalui faraj,’’ Dr. Shah Reza.

Secara amnya, induksi ini bergantung pada faktor-faktor tertentu seperti:

* Keadaan semasa anda serta bayi yang dikandung
* Tempoh mengandung sekarang
* Perubahan pada pangkal rahim
* Ujian-ujian penentuan kesejahteraan janin.

Kaedah-kaedah induksi yang digunakan untuk menyebabkan perubahan pada pangkal rahim termasuklah:

* Prostaglandin dalam bentuk pil yang dimasukkan melalui faraj, menyebabkan pangkal rahim menjadi lembut sekali gus membolehkan kontraksi bermula.
* Membocorkan kantung amniotik iaitu kantung seperti belon berisi air yang mengelilingi janin yang sedang membesar serta melindunginya daripada tekanan luaran.
Biasanya anda akan merasai kontraksi selepas beberapa jam kantung tersebut dibocorkan.
* Menggunakan ubat oksitosin yang diberikan melalui sistem pembuluh darah di tangan anda.

Kata Dr. Shah Reza, langkah-langkah tersebut di atas bertujuan agar kelahiran dapat berlaku secara normal.

“Walaubagaimanapun, kelahiran melalui pembedahan mungkin terpaksa diambil sekiranya situasi semasa (sama ada ibu atau bayi) bertukar menjadi situasi kecemasan yang boleh memudaratkan jika ditunggu lebih lama.’’

Doktor pakar perbidanan sudah tentu mahukan seorang ibu yang selamat dan bayi yang sihat melalui proses bersalin. Maklumlah, perjalanan mengandung anda sangat lama iaitu purata 280 hari!

Sumber:Utusan Malaysia


~ultrasound kesan kecacatan bayi~

November 10, 2006

Dari melihat jantung bayi berdegup, menguap, tersedu, menghisap ibu jari dan mengeliatkan tubuhnya, ultrasound ibu hamil menjadi pengalaman mencuit hati tentang ahli keluarga baru yang masih di dalam kandungan.

Jika sebelum tahun 1950-an ibu bapa hanya dapat melihat kelibat bayi mereka buat pertama kalinya sebaik sahaja dilahirkan, namun kini kecanggihan teknologi membolehkan senyuman bayi dirakamkan berbulan-bulan lamanya sebelum dilahirkan.

Pada awalnya, ibu dan ayah hanya dapat melihat imej bayi mereka itu yang rata dan berwarna hitam putih menggunakan ultrasound dua dimensi (2D) tradisional. Imej ultrasound tiga dimensi (3D) mula dibangunkan pada tahun 1986 oleh Kazunori Baba dari University of Tokyo.

Bagaimanapun, tontonan imej ultrasound 3D yang mengambil gambar janin pada masa sebenar iaitu ketika bayi sedang bergerak-gerak, hanya menjadi realiti sedekad kemudian melalui penggunaan komputer yang lebih berkuasa tinggi.

Bayi seakan melambai-lambaikan tangannya yang kecil itu menerusi tingkap ke arah anda yang berada di dalam bilik doktor. Anda akan mula berteka-teki tentang mata, hidung atau raut wajahnya yang lebih mirip ‘mama’ atau ‘papa’.

Ultrasound untuk wanita mengandung atau ultrasound janin turut dikenali dengan pelbagai nama lain. Antaranya, sonogram kehamilan, ultrasonografi obstetrik dan sonogram obstetrik.

Namun, peluang mengetahui profil bayi anda bukanlah semata-mata bertujuan mengesahkan jantina bayi ataupun memberikan ibu bapa thrill (satu macam perasaan yang menggetarkan jiwa) mahupun untuk suka-suka sahaja.

Lebih dari itu, ultrasound membantu doktor anda membuat penilaian tentang perkembangan dan tumbesaran si manja. Jantina bayi merupakan satu bonus sahaja apabila ultrasound dilaksanakan bagi tujuan perubatan.

“Kebanyakan wanita tanpa mengira usia, mempunyai risiko yang kecil untuk melahirkan bayi dengan kecacatan fizikal mahu pun mental. Majoriti bayi yang dilahirkan adalah normal.

“Ultrasound biasanya dilakukan apabila kandungan disyaki tidak normal. Jika tidak, secara umumnya ia dilakukan semasa kandungan dianggarkan mencapai tujuh minggu.

“Ia bertujuan mengesahkan kehamilan dan memantau tahap kesihatan ibu serta perkembangan janinnya,’’ kata Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr. Fairuz A’shikin Abd. Kadir.

Menurutnya, semasa ultrasound dijalankan, gelombang bunyi berfrekuensi tinggi akan dihantar ke tisu-tisu yang terdapat di sekitar abdomen wanita hamil.

“Gelombang-gelombang bunyi ini akan dilantunkan ke seluruh struktur badan ibu dan janin.

“Ia kemudiannya akan diterjemahkan dalam bentuk kawasan terang dan gelap – membentuk imej bayi anda pada monitor dan filem,’’ kata beliau.

Pengimejan ultrasound ini berdasarkan prinsip yang sama digunakan dalam sonar (alat pengesan di dalam air menggunakan gelombang bunyi) kapal, kelawar dan pengail yang dipasangkan dengan pengesan ikan.

Apabila bunyi yang dikawal melantun setelah terkena objek, gelombang yang bergema boleh digunakan bagi mengenal pasti berapa jauh kedudukan objek, saiz, bentuk serta konsistensi dalamannya sama ada cecair, pepejal atau campuran.

Dari segi psikologi, ultrasound bukan sahaja memberikan ketenangan fikiran kepada pasangan suami isteri tetapi juga berupaya membina ikatan kasih sayang yang lebih kukuh di antara ibu bapa dengan zuriat mereka.

Kajian turut membuktikan bahawa ibu berkenaan lebih mengambil berat tentang kesihatan dan pemakanannya serta mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam demi si bayi yang bakal lahir.

Bagaimanakah ultrasound dilakukan?

Prosedur dilakukan sambil berbaring. Gel yang jernih berasaskan air akan disapukan pada bahagian perut untuk membantu penghantaran gelombang bunyi.

Transducer iaitu alat yang menerima gelombang yang dipegang oleh doktor akan digerakkan ke depan dan ke belakang di atas perut bahagian bawah dan sekitar pelvis.

Persediaan

Anda dikehendaki minum dua hingga tiga gelas air, sejam sebelum ujian. Anda juga tidak dibenarkan membuang air kecil sehinggalah pemeriksaan selesai bagi mendapatkan gambaran yang lebih baik.

Pakai baju yang longgar bersama kain atau seluar. Elakkan memakai gaun, maxi atau jubah jika tidak mahu menukar pakaian kerana hanya bahagian bawah perut yang perlu didedahkan untuk pemeriksaan.

Bagaimanakah rasanya?

Mungkin anda akan terasa kurang selesa disebabkan oleh pundi kencing yang penuh. Gel yang disapukan tadi akan terasa sedikit basah dan sejuk.

Risiko

Sehingga kini, tiada kesan biologi yang didokumentasikan baik oleh si ibu mahu pun bayi dengan penggunaan teknik-teknik ultrasound sedia ada. Tiada radiasi berion yang terlibat.

Apa perlunya ultrasound?

Sesetengah embrio membesar di dalam tiub fallopio dan bukannya di dalam rahim seperti sepatutnya. Ultrasound membantu doktor mengesan serta merawat kehamilan di luar rahim sebelum ia membahayakan kesihatan.

Dengan mengetahui usia bayi juga, doktor boleh menentukan dengan lebih tepat tarikh bayi dijangka lahir sekali gus membolehkan masa-masa penting sepanjang kehamilan itu dijejaki.

Sekiranya doktor mengesyaki kandungan lebih dari satu (kembar), ultrasound boleh memastikannya.

Doktor juga akan menggunakan ultrasound untuk memastikan sama ada bayi membesar normal – dengan memantau pergerakan bayi, pernafasan dan degupan jantungnya.

Sementara itu, segala masalah dengan uri yang memerlukan perhatian juga boleh diselidiki. Ini penting kerana uri membekalkan bayi dengan sumber pemakanan serta darah yang kaya dengan oksigen.

Sekiranya berlaku pendarahan atau lain-lain komplikasi, doktor akan melakukan penyiasatan lanjut menggunakan ultrasound.

Ultrasound turut dijadikan panduan untuk menempatkan jarum suntikan semasa ujian-ujian pranatal.

Misalnya, memeriksa sampel cecair amniotik bagi masalah-masalah genetik tertentu (amniosentisis) atau menguji contoh plasenta (uri) bagi keabnormalan genetik (pensampelan vilus korionik).

Akhir sekali, ultrasound membantu doktor mengesan sebarang kecacatan yang mungkin berlaku kepada bayi di dalam kandungan.

Diagnosis awal boleh mendorong kepada rawatan segera yang boleh menyelamatkan bayi dan ia boleh dikesan sebelum kandungan masuk minggu ke-20.

Antara kecacatan yang mungkin berlaku

* Hidrosefalus; masalah kepala bayi yang membesar
* Anensefali; ketiadaan tulang-tulang (separa atau lengkap) pada bahagian belakang tengkorak
* Spina bifida: kecacatan perkembangan bayi baru lahir dan sebahagian daripada korda spina serta salutan-salutannya terdedah melalui celah tulang belakang. Ia boleh didiagnosis kira-kira minggu ke-16 kehamilan melalui ujian cecair amniotik.
* Sumbing bibir dan lelangit
* Penyakit jantung kongenital (sejak lahir)

Jenis-jenis ultrasound

* Standard; jenis ini membina imej 2D bagi membantu doktor menentukan usia janin selain menilai tumbesaran serta perkembangannya.

Boleh dikatakan kebanyakan ultrasound menghasilkan bayi yang normal dan sihat atau kadang-kala, kembar.Pemeriksaan ultrasound pranatal yang standard selalunya mengambil masa kira-kira 20 minit.

* Ultrasound lanjutan; jenis ini lebih kurang sama dengan ultrasoud standard tetapi pemeriksaannya mensasarkan masalah yang dikhuatiri, menggunakan peralatan yang lebih sofistikated. Ia biasanya mengambil masa kira-kira 30 minit ke beberapa jam lamanya.

* Ultrasound transvaginal; doktor akan meletakkan alat seperti tongkat di dalam faraj untuk menghantar gelombang bunyi dan mengumpulkan refleksinya.

Ia digunakan secara lebih kerap pada awal kehamilan apabila rahim dan tiub fallopio berada lebih hampir dengan faraj berbanding permukaan perut.

* Ultrasound 3D; menawarkan imej 3D dengan kualiti foto yang lebih terperinci. Ia berupaya menilai dengan lebih lanjut imej-imej yang diperoleh daripada ultrasound lanjutan

* Pengimejan doppler; mengukur perubahan-perubahan yang berlaku di dalam gelombang ultrasound yang terlantun daripada objek yang bergerak seperti sel-sel darah.

Pengimejan jenis ini menawarkan maklumat terperinci tentang peredaran yang terutamanya sangat berfaedah jika ibu mengalami tekanan darah tinggi ataupun apabila bayi berkembang pada tahap yang lebih perlahan berbanding sepatutnya.

* Ekokardiografi janin; memberikan butiran lanjut keadaan jantung bayi yang digunakan sebagai pengesahan atau menyingkirkan kecacatan jantung kongenital.

Sumber: Utusan Malaysia (03/09/2006)


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.