~komplikasi kehamilan::1 juta wanita mati setiap tahun~

undefined

Utusan Malaysia – 26/08/2003

LAPORAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, setiap hari sekurang-kurangnya 1,600 wanita mati akibat komplikasi kehamilan dan kelahiran. Ini bermakna dianggarkan 85,000 wanita mati setiap tahun.

Menurut laporan itu, kira-kira dua peratus daripada kematian itu berlaku di negara-negara membangun tetapi majoriti daripada kira-kira 85,000 kematian setahun di negara membangun dan negara miskin khususnya rantau Asia dapat diselamatkan.

Di Malaysia, kadar kematian ibu mencatatkan penurunan dalam tempoh 40 tahun ini berikutan beberapa faktor termasuklah tahap kehidupan yang semakin meningkat, status pendidikan, penjagaan antenatal dan neonatal yang lebih baik.

Wartawan Roslah Othman melaporkan kertas kerja yang dibentangkan pada seminar Kesihatan Keibuan dan Neonatal: Ke Arah Pendekatan Yang Menyeluruh, anjuran Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Antarabangsa (IAMANEH), di ibu negara baru-baru ini.

SEJAK dua dekad yang lalu, kesihatan reproduktif wanita merupakan satu isu hebat yang diperkatakan.

Ini jelas dapat dilihat, dengan wujudnya program-program dan undang-undang yang menekankan aspek kehamilan, impak kepada bayi dan kesihatan kanak-kanak terbabit.

Menyedari hakikat bahawa setiap manusia di dunia ini berhak dan berpeluang menikmati kehidupan yang sihat persediaan awal diperlukan.

Persediaan ini melibatkan kesihatan dua golongan istimewa iaitu wanita dan kanak-kanak yang dikenal pasti memerlukan perhatian dan penjagaan khusus.

Penekanan kesihatan yang melibatkan aspek kesihatan ini melibatkan proses kehamilan dan kelahiran.

Menurut Pengarah Kawasan Persekutuan Perancang Keluarga Antarabangsa, Datuk Dr. Raj Karim, hakikat yang perlu diakui bahawa kehamilan dan kelahiran merupakan satu proses semula jadi, namun ini tidak bermakna ia bebas dari sebarang risiko.

“Wanita di Malaysia tidak terkecuali menghadapi komplikasi semasa hamil, kelahiran dan selepas bersalin.

“Risiko ini termasuklah dari aspek penyakit, kematian, penjagaan semasa dan selepas kelahiran,” katanya.

Sama ada mahu diakui atau tidak, setiap hari, setiap minit ramai wanita mati akibat komplikasi semasa hamil atau kelahiran.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya yang bertajuk Keibuan Yang Selamat Di Malaysia, di Persidangan Kesihatan Keibuan dan Neonatal: Ke Arah Pendekatan Menyeluruh.

Seminar tiga hari ini dianjurkan oleh Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Antarabangsa (IAMANEH), yang antara lain bertujuan membincangkan isu-isu mengenai keibuan yang selamat.

Jelasnya, dalam setiap minit, ada saja bayi mati kerana pengurusan yang tidak sempurna semasa kehamilan dan kelahiran.

Kebanyakan kematian ini berlaku di kalangan wanita miskin di mana keperluan kesihatan mereka sering diabaikan.

Risiko

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan, kematian ibu ialah kematian wanita yang hamil sehingga 42 hari selepas melahirkan anak.

Setiap tahun lebih daripada sejuta wanita di seluruh dunia mati akibat komplikasi kehamilan.

Ekoran masalah ini, berjuta-juta lagi menderita akibat kecacatan kekal yang terpaksa ditanggung seumur hidup.

Lebih mendukacitakan lagi, kesemua komplikasi ini merupakan sesuatu yang boleh dielakkan.

Sebaliknya, wanita di negara-negara maju secara puratanya, mempunyai risiko kematian kehamilan yang terlalu sedikit.

Dr. Raj memberitahu, wanita di Malaysia masih menghadapi komplikasi semasa hamil, kelahiran dan selepas bersalin.

Bagaimanapun katanya, kadar kematian ibu di Malaysia dalam tempoh 40 tahun mencatatkan penurunan hingga 20 kematian dalam setiap 100,000 pada 1996 berbanding 530 kematian dalam 100,000 kelahiran hidup pada 1950.

Menurut beliau, pelbagai sebab yang boleh menyebabkan kematian ini antaranya tumpahan darah semasa hamil, bersalin dan selepas bersalin, jangkitan kuman dan hipertensi.

“Kurangnya kesedaran berhubung pentingnya penjagaan kehamilan sehingga selepas melahirkan anak, antara faktor timbulnya masalah ini.

“Sikap suka melengah-lengahkan pemeriksaan antenatal awal apabila menyedari mereka hamil sebenarnya merugikan,” katanya.

Di Malaysia, katanya kematian perinatal, neonatal dan bayi juga menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini.

Penurunan ini banyak kaitannya dengan tahap kehidupan yang semakin meningkat, status pendidikan, penjagaan antenatal dan amalan obstetrik dan neonatal yang lebih baik.

“Meningkatnya kecekapan dan kehandalan para anggota kesihatan yang terlatih di sektor kerajaan mahupun swasta turut memainkan peranan dalam menangani masalah seumpama ini,” jelasnya.

Perbandingan dengan beberapa buah negara di Asia mendapati, Malaysia mencatatkan penurunan yang agak ketara sebanyak 24.2 peratus dalam tempoh lima tahun (1991- 1996).

Wanita hamil, katanya harus sedar bahawa mereka adalah golongan yang berisiko terdedah kepada sebarang komplikasi kesihatan, justeru hanya pemeriksaan awal dan tindakan susulan dapat dilaksanakan untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini.

Menurut beliau, trend kematian selepas bayi dilahirkan dalam tempoh seminggu (perinatal) yang diperoleh dari WHO mendapati, berjuta-juta bayi mati pada peringkat akhir kehamilan, kelahiran dan minggu pertama kehidupan.

Statistik mendapati, bayi-bayi itu juga mati sebelum atau semasa lahir dan mati dalam minggu pertama kelahiran.

Walaupun jumlah bilangan bayi yang mati pada tahun pertama kelahiran menurun sejak sedekad yang lalu, namun bilangan bayi yang mati pada minggu pertama dilahirkan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Sementara itu, katanya, kematian perinatal ini dikatakan lebih kerap berlaku di negara membangun.

Jumlah ini dikatakan lima kali ganda tinggi berbanding di negara maju. Sebaliknya, keadaan yang lebih kritikal berlaku di bahagian barat, tengah dan timur Afrika.

“Kematian perinatal ini banyak kaitannya dengan status, pemakanan dan penjagaan yang kurang sempurna wanita dan bayi terbabit,” jelasnya.

Menyedari hakikat itu, WHO menggariskan empat komponen utama berhubung keibuan yang selamat iaitu amalan perancang keluarga, penjagaan antenatal (ibu hamil), kelahiran yang selamat dan bersih dan penyediaan penjagaan obstetrik asas.

Amalan

Melalui amalan perancang keluarga ini, keluarga terbabit akan dibekalkan dengan pengetahuan mengenai cara untuk menjarakkan anak, bilangan anak dan masa yang sesuai untuk hamil.

Selain itu, setiap ibu yang hamil dapat menerima penjagaan kesihatan yang sempurna bagi mengesan sebarang risiko.

Pengesanan ini dapat mencegah komplikasi yang bakal berlaku akibat daripada kandungan dan proses kelahiran.

Kelahiran yang bersih dan selamat banyak bergantung kepada pengetahuan dan kemahiran pembantu kelahiran di samping penggunaan peralatan suci hama.

Manakala penyediaan penjagaan obstetrik asas amat penting untuk dinikmati oleh semua wanita yang memerlukan.

“Dalam merealisasikan hasrat ini, ia merupakan satu cabaran baru yang memerlukan sokongan dari semua pihak yang terbabit.

“Ini kerana, kesihatan wanita memerlukan satu perspektif yang lebih meluas seperti perancangan keluarga, kehamilan dan kesihatan bayi,” katanya.

Dalam hal ini wanita seharusnya bersikap lebih berpandangan jauh dan bersikap lebih terbuka, bahawa kesihatan reproduktif bukan hanya terhad kepada soal-soal sakit puan.

Apa juga alasannya, matlamat yang ingin dicapai ialah setiap ibu berhak memastikan bayi yang bakal dilahirkan selamat dan sihat, pada masa yang sama ibu tersebut juga selamat dan sihat selepas proses kelahiran.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: