~virus cacar air mudah berjangkit~

Disember 26, 2006

Sindrom varicella kongenital ancam nyawa ibu, janin pada awal kehamilan.

Jika ada ahli keluarga atau jiran diserang cacar air pada saat anda sedang hamil, lebih baik jika anda mengambil langkah proaktif iaitu menjauhkan diri daripada mereka buat seketika. Lebih wajar jika ibu hamil diasingkan hingga jangkitan disahkan bebas sepenuhnya.

Walaupun demam yang disebabkan virus Varicella Zoster ini lebih tinggi kadar jangkitan di kalangan kanak-kanak, wanita mengandung perlu lebih berwaspada kerana selain berbahaya kepada orang dewasa, bayi mereka turut mempunyai risiko lahir tidak normal apabila terdedah kepada penyakit ini.

Pakar perbidanan dan sakit puan sebuah pusat perubatan, Dr Jameaton Abdullah berkata, berbanding kanak-kanak yang mudah sembuh, jangkitan pada usia dewasa amat berbahaya dan boleh membawa komplikasi buruk seperti meningitis (radang selaput otak) serta ensefalitis (radang otak).

Katanya, bagi ibu hamil, jangkitan cacar air bukan saja mengancam nyawa mereka malah bayi dikandung juga mempunyai dua peratus risiko mengalami kecacatan yang disebut sebagai sindrom varicella kongenital.

“Kadar jangkitan lebih tinggi di kalangan kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun. Keadaan antibodi membolehkan mereka cepat sembuh dan parut mudah hilang. Namun disebabkan ia mudah berpindah menerusi air liur, hingus atau terkena cecair me lepuh daripada penghidap, sesiapa saja berpotensi dijangkiti.

“Dalam kes wanita mengandung, sindrom varicella kongenital menjadi ancaman kepada janin terutama pada peringkat awal kehamilan iaitu kurang 20 minggu. Keadaan si ibu pula, jika tidak dipantau atau mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin boleh terdedah kepada pneumonia.

“Antara risiko kepada bayi adalah kecacatan mata, inflamasi dalam lapisan mata, kecacatan sistem saraf, otak terbantut, bukaan pundi kencing atau pembuangan air besar tidak berfungsi serta kaki atau tangan bayi tidak berkembang pada tahap sepatutnya,” katanya.

Jameaton berkata, sindrom itu boleh dikesan menjangkiti bayi di dalam perut menerusi ujian ultrasound yang akan menunjukkan kandungan berlebihan cecair amnion, ketidaknormalan hati serta pembengkakan tisu bayi. Ujian darah juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti kehadiran virus. Disebabkan risiko cacar air begitu besar, setiap individu disarankan me ngambil vaksin bagi melindungi diri daripada terkena jangkitan sama ada sejak kanak-kanak mahu dewasa, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Bagi wanita, mereka tidak boleh hamil hingga empat bulan selepas suntikan pertama.

“Terdapat vaksin yang boleh melindungi individu daripada jangkitan cacar air yang sudah bertahun-tahun diperkenalkan di negara maju. Walaupun di sini individu tidak diwajibkan mengambil suntikan berkenaan, sebagai langkah terbaik ia wajar dimasukkan dalam jadual imunisasi anak.

“Jika ketika kecil individu berkenaan tidak mendapat vaksin berkenaan, mereka masih belum terlambat mengambilnya sekarang. Kebiasaannya dua suntikan dilakukan dalam tempoh enam minggu untuk golongan dewasa. Langkah pencegahan wajar diambil untuk kesejahteraan diri dan keluarga,” katanya.

Kebiasaannya cacar air berlaku sekali seumur hidup individu disebabkan tubuh pesakit membina sistem imun terhadap virus Varicella sekali gus menyebabkan 90 hingga 95 peratus pesakit tidak akan mendapat serangan ulangan. Begitupun, virus itu boleh datang kembali dan menjadi aktif dalam bentuk kayap (zoster) yang menyakitkan.

Risiko cacar air kepada si kecil

Sebelum lahir (dalam kandungan) – Kecacatan mata, inflamasi dalam lapisan mata, kecacatan sistem saraf, otak terbantut, bukaan pundi kencing atau pembuangan air besar tidak berfungsi serta kaki atau tangan bayi tidak berkembang sepatutnya.

Kurang setahun – Jika bayi kurang sebulan, risiko kematian sangat tinggi.

Satu hingga 12 tahun – Simptom tidak serius kerana pada tahap ini tubuh memberi tindak balas cepat.

Antara 13 hingga 49 tahun – Walaupun sistem imun tubuh semakin meningkat, ia memberi reaksi negatif kepada virus Varicella hingga membawa gejala lebih teruk.

Melebihi 50 tahun – Semakin tua individu, bertambah serius gejala yang perlu dihadapi termasuk komplikasi lain seperti meningitis, ensefalitis dan pneumonitis (radang paru-paru).

FAKTA

Ciri-ciri cacar air

  • Mudah merebak
  • Walaupun lepuh sudah sembuh, virus masih kekal pada badan pesakit dan boleh menyerang semula selepas beberapa tahun dipanggil kayap.
  • Vaksin cacar air boleh diambil pada bila-bila masa, tidak kira berapa umur anda dan kesannya tahan lama. Kajian menunjukkan ia mampu memberi perlindungan hingga 20 tahun!
  • Vaksin boleh diberikan selepas kita terdedah kepada pesakit cacar air. Mengambil vaksin dalam tempoh tiga hingga lima hari selepas terdedah kepada pesakit boleh meminimumkan kesan cacar air.
  • Kegatalan akan membentuk kuping. Penyakit masih boleh berjangkit selagi ada kuping yang belum tertanggal.
  • Tanda serangan

  • Demam, selesema, hidung berair dalam tempoh dua tiga hari.
  • Timbul lepuh kecil (vesikel)
  • Bintik berair itu akan merebak ke seluruh badan.
  • Seluruh tubuh boleh ditumbuhi bintik termasuk kulit kepada, tapak kaki, lidah dan kemaluan.
  • Gatal-gatal.
  • Kebiasaannya mengambil masa 10 hingga 20 hari untuk sembuh.
  • Cara jangkitan

  • Percikan air liur.
  • Hingus.
  • Terkena cecair vesikel.
  • Tersentuh barang penghidap.
  • Saranan doktor

  • Asingkan pesakit dengan ahli keluarga lain.
  • Cuci barang peribadi pesakit berasingan.
  • Elakkan menggaru bahagian berair bimbang bintik terus merebak.
  • Ambil ubat seperti yang disarankan.
  • Jaga kebersihan diri.
  • Dapatkan suntikan vaksin yang memberi perlindungan hingga bertahun-tahun.
  • Untuk meminimumkan kegatalan, sapukan losyen Calamine pada ruam atau mandikan dengan air suam yang dicampur segenggam soda bikarbonat.
  • Banyak berehat dan minum banyak air kosong.
  • Sumber:Berita Harian


    ~bayi perlu zat besi~

    Disember 22, 2006

    Masalah anemia yang disebabkan kekurangan zat besi antara perkara yang kerap berlaku pada kanak-kanak. Lebih kurang 10 peratus remaja perempuan dan kanak-kanak mengalami masalah kurang zat besi.

    Masalah kekurangan zat besi bagi kanak kanak berlainan daripada orang dewasa. Selalunya masalah ini disebabkan kekurangan zat besi dalam diet kanak kanak itu, ditambah lagi dengan keperluan zat besi yang lebih untuk tumbesaran kanak kanak. Masalah itu mungkin juga melembapkan perkembangan kanak-kanak terutama yang sedang membesar.

    Disebabkan masalah perkembangan kanak kanak, adalah penting untuk mengesan dan merawat kanak kanak yang mengalami anemia kekurangan zat besi.

    Siapakah yang mungkin mengalami masalah anemia kurang zat besi?

    Bayi dari 0 – 6 bulan – sebab utama adalah bayi pramatang atau bayi yang beratnya rendah (kurang dari 2.5 kg)

    Bayi 6 – 12 bulan – pada usia 6 hingga 9 bulan, bayi kerap mengalami anemia kurang zat besi. Ini disebabkan pertukaran pemakanan dari susu kepada makanan pejal. Berikutan itu cara pemakanan yang salah kerap berlaku dan menyebabkan kekurangan zat besi. Pada masa ini juga perkembangan psikomotor berlaku dengan cepat. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan masalah perkembangan psikomotor.

    Kanak-kanak lebih dari satu tahun dan prasekolah – Masalah pemakanan yang boleh menyebabkan kekurangan zat besi adalah, penyusuan susu ibu secara eksklusif dan lambat memberi makanan pejal.

    Remaja – Pada waktu ini terdapat kadar pertumbuhan tinggi. Masalah pemakanan dan permulaan haid bagi remaja perempuan adalah punca kekurangan zat besi.

    Kenapa kekurangan zat besi berlaku?

    Masalah utama kekurangan zat besi bagi enam bulan pertama ialah bayi pramatang. Ini kerana bayi pramatang tidak mempunyai bekalan zat besi mencukupi. Bayi yang berat badan berkurangan juga mengalami masalah sama. Oleh itu bagi kanak-kanak itu jika mereka hanya mengambil susu ibu adalah elok jika zat besi diberi sebagai zat tambahan. Jika susu formula diberikan, pastikan susu mengadungi zat besi.

    Bagi bayi 6 bulan ke atas masalah utama kekurangan zat besi disebabkan pemakanan.

    Sebab lain adalah penyusuan susu ibu yang lama dan eksklusif. Susu ibu mengandungi zat besi yang senang diserap tetapi kandungan zat besi hanyalah memadai. Kandungan zat besi ini tidak mencukupi bagi bayi 6 bulan ke atas jika pemakanan lain tidak diberi.

    Jika susu lembu segar diberikan kepada kanak-kanak, bukan saja susu lembu segar ini mengandungi zat besi yang rendah, zat besi ini tidak boleh diserap dengan baik. Selain itu pemberian susu lembu segar boleh menyebabkan pendarahan kecil usus bayi yang tidak matang. Oleh yang demikian susu lembu segar tidak diberi kepada kanak kanak kurang dari 1 tahun, tetapi susu lembu segar dalam kuantiti kecil (dalam pemakanan) tidak menyebabkan masalah serius.

    Bagi kanak-kanak setahun dan prasekolah, sebab utama kekurangan zat besi ialah pemakanan kanak-kanak itu bergantung banyak kepada susu. Ini mungkin berlaku kerana susu adalah cara pemakanan yang senang untuk kanak-kanak dan secara tidak langsung susu yang mengandungi zat besi kurang menjadi sumber pemakanan utama kanak kanak berkenaan.

    Sebab lain menyebabkan kekurangan zat besi

    Malabsorption (masalah penyerapan nutrient dari usus)
    Infeksi parasit, cacing
    Kekurangan zat besi dalam pemakanan

    Tanda kekurangan zat besi berbeza bagi kanak-kanak jika dibandingkan dengan orang dewasa. Masalah anemia boleh menyebabkan kelihatan pucat kepada orang dewasa tetapi simptom lain adalah:

    Perubahan kelakuan
    Masalah perkembangan/ pemikiran
    Kurang fungsi imun

    Kurang aktif

    Selain itu, kanak-kanak juga boleh mengalami masalah perkembangan fizikal, kurang selera makan dan masalah kanak-kanak suka memakan bahan bahan “ganjil” seperti tanah, kertas dan sebagainya

    Cara untuk mengetahui anak anda mengalami masalah kekurangan zat besi adalah melalui analisis darah.

    Rawatan

    Walaupun masalah ini disebabkan pemakanan yang kurang zat besi, perubahan diet pemakanan saja tidak mencukupi untuk meninggikan kandungan zat besi dalam badan. Multivitamin dengan zat besi juga mungkin tidak mencukupi. Apa yang perlu diberi terutama jika kandungan zat besi terlalu rendah adalah zat besi saja.

    Adalah penting untuk ibu bapa mendapat nasihat doktor atau pakar kanak kanak sebelum memulakan ubatan zat besi saja kerana memberi kanak kanak terlalu banyak zat besi boleh membawa masalah masalah lain.

    Sumber : Berita Harian