~penjagaan pantang~

September 13, 2006

Beruntunglah wanita yang mempunyai suami penyayang dan sanggup menguruskan kerja rumah ketika isteri berpantang. Bantuan suami bukan saja penting untuk kesihatan mindanya, tetapi dapat memberi peluang isteri berehat selepas menjalani satu tempoh tekanan yang panjang.

Tidak ramai tahu kehamilan memberi banyak tekanan kepada badan wanita. Malah, pada masa sama wanita juga boleh mengalami tekanan emosi, terutama jika kehamilan itu tidak dikehendaki.

Sedar atau tidak, kehamilan membawa banyak perubahan fizikal dan emosi kepada wanita. Selepas bersalin, ramai wanita lebih memberi tumpuan kepada bayi dan suami sehingga kadangkala ada yang lupa mengambil berat kesihatan diri sendiri.

Berpantang memberi peluang kepada wanita untuk berehat secukupnya kerana kehamilan boleh menyebabkan beberapa gangguan kepada fungsi asal badan. Ini sebabnya setiap pasangan disaran merancang keluarga yang bukan saja baik untuk bayi, bahkan demi kepentingan wanita sendiri.

Dr Ho berkata, jika dulu masalah sukar mengawal kencing hanya berlaku pada wanita yang banyak kali bersalin, terutama selepas berumur 40 tahun ke atas, kini semakin ramai wanita muda mengalaminya, walaupun baru ada seorang anak.

Kira-kira lima hingga 30 peratus wanita mengalaminya akibat bersalin secara normal, manakala 60 peratus lagi disebabkan proses penuaan, terutama selepas menopaus. Dianggarkan 11 peratus wanita berumur 70 tahun ke atas menjalani pembedahan akibat kejatuhan rahim atau masalah kencing tidak lawas.

Wanita boleh mengalami masalah sama ada kencing tidak lawas atau tidak dapat mengawal kencing. Ada kalanya kedua-dua masalah berlaku serentak akibat kelemahan otot pundi kencing, sekali gus memaksa wanita kerap pergi ke bilik air. Ia menyebabkan wanita terkencing sedikit setiap kali bersin, batuk atau cuba bangun selepas lama duduk.

Kekal sihat dan cantik

Dr Ho berkata, antara cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah sampingan akibat kejatuhan rahim ialah melalui senaman Kegel (kemut). Namun bukan semua wanita (walaupun berkahwin) tahu otot mana perlukan senaman ini.

Caranya mudah, iaitu dengan membuat kemutan ketika buang air kecil bagi menghentikan aliran air kencing. Otot ini yang perlu ‘dikuatkan’ semula. Setiap wanita disaran melakukan senaman kemut ini sebanyak 50 kali sehari sepanjang hayat.

Ia senaman mudah dan boleh dilakukan bila-bila masa tanpa diketahui orang lain. Malah, ia juga baik untuk diamalkan wanita mengandung untuk menguatkan otot vagina dan memudahkan proses bersalin.

“Ramai wanita mengadu mengalami masalah berat badan berlebihan selepas melahirkan anak. Tempoh berpantang adalah waktu terbaik untuk mengurangkan berat badan. Caranya mudah iaitu dengan hanya berjalan 20 hingga 30 minit sehari dan boleh dimulakan dua minggu selepas bersalin.

“Bagaimanapun, jangan berdiet kerana ibu dan bayi sama-sama memerlukan banyak khasiat pemakanan. Elakkan juga berdiri terlalu lama kerana kesan graviti menyumbang kepada masalah rahim jatuh,” katanya dalam ceramah kesihatan anjuran bersama Institut Pengurusan Wanita (WIM) dan Schering (M) Sdn Bhd.

Wanita selepas bersalin juga kerap mengalami masalah sakit pinggang atau belakang yang kadangkala berlanjutan sepanjang hayat. Mengamalkan postur (posisi) badan baik ketika duduk atau bekerja juga dapat mengelakkan masalah sakit belakang.

Selain itu, wanita berpantang juga diingatkan supaya tidak mengangkat benda berat. Katanya, benda paling berat yang boleh diangkat ialah bayi anda.

Senaman lain yang lebih lasak seperti berbasikal (statik atau bergerak) dan berenang hanya boleh dilakukan selepas enam bulan bersalin.

Namun paling penting ialah mengekalkan kesihatan minda dan emosi dengan merancang keluarga iaitu menjarakkan kehamilan antara dua hingga tiga tahun.

Kata Dr Ho, banyak masalah emosi dan minda berpunca daripada kehamilan yang tidak dikehendaki sehingga ada wanita nekad menggugurkan bayi, walaupun bersuami.

Pengguguran bukan cara merancang keluarga. Wanita yang menggugurkan anak berisiko tinggi mengalami pelbagai komplikasi seperti trauma emosi, keresahan, mengandung luar rahim, pendarahan berlebihan dan jangkitan.

Malah, pengguguran yang tidak dijalankan dengan berhati-hati boleh menyebabkan pendarahan berlebihan serta rahim berlubang. Lebih parah jika wanita berkenaan tidak dapat mengandung pada kemudian hari yang akan menyebabkannya diburu rasa bersalah sepanjang hayat.


~kemurungan selepas bersalin perlu perhatian~

Julai 28, 2006

Wanita yang tinggal di bandar dan menjalani pantang secara bersendirian atau jauh daripada keluarga lebih cenderung mengalami kemurungan selepas bersalin (PND) berbanding wanita yang tinggal bersama keluarga seperti ibu, nenek atau saudara mara lain.

Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan, berkata walaupun tiada data khusus menunjukkan bilangan sebenar wanita yang mengalami PND, kebanyakan kes yang ditemui mendapati PND lebih kerap terjadi di kalangan wanita Cina berbanding Melayu dan India.

“Ini mungkin disebabkan faktor keluarga nuklear iaitu tiada ahli keluarga lain selain suami dan anak seperti yang ada hari ini. Kehadiran ahli keluarga lain seperti ibu, ibu mentua, makcik dan sebagainya sebenarnya membantu mengurangkan beban pasangan ketika menjalani pantang. Bagaimanapun, kebanyakan wanita terutama di bandar tinggal berjauhan daripada keluarga masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Mengatasi Perubahan Fizikal dan Kesihatan Mental Selepas Bersalin di Wisma Institut Pengurusan Wanita (WIM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, wanita terdedah kepada tekanan emosi apabila terpaksa menguruskan bayi yang masih kecil dan rumah tangga tanpa bantuan sesiapa sedangkan kesakitan yang dialami selepas bersalin masih belum sembuh sepenuhnya.

“Dianggarkan tiga hingga empat daripada 10 wanita mengalami PND. Ia selalunya berlaku antara satu hingga tiga bulan selepas melahirkan bayi dengan tanda umum yang dapat dilihat seperti tertekan, kesedihan, kehilangan minat, kesunyian, gelisah dan ingin membunuh diri. Perasaan juga bercelaru menyebabkan mereka tidak dapat bertindak mahupun berfikir secara waras.

“Mereka bimbang tidak tentu pasal mengenai bayi dan sangsi dengan kemahiran sebagai ibu, bimbang dengan tahap kebersihan rumah walaupun tidak melakukan apa-apa untuk memperbaikinya, mudah berasa sedih, menangis dan sukar tidur. Sesetengah wanita kecewa apabila merasakan susu badan mereka sedikit dan selepas membuangnya mereka mula rasa bersalah,” katanya.

Selain PND, ada dua lagi kategori kemurungan selepas bersalin iaitu Baby Blues dan Psikosis Selepas Bersalin. Kemurungan akibat Baby Blues adalah kemurungan biasa yang dialami kebanyakan wanita selepas beberapa hari melahirkan bayi.

Dianggarkan lebih 50 peratus wanita mengalaminya dengan purata tujuh hingga lapan daripada setiap 10 wanita. Berbanding PND, mereka yang menghidapnya juga tidak memerlukan sebarang ubat.

“Psikosis Selepas Bersalin lebih serius berbanding Baby Blues dan PND. Ia jarang berlaku di negara ini dengan anggaran purata kurang 0.001. Psikosis menyebabkan wanita mengalami halusinasi dan kegilaan yang mendorong mereka untuk membunuh bayi mereka.

“Ada pesakit yang ingin membunuh diri tetapi tidak tergamak meninggalkan bayi mereka sendirian. Jadi, mereka fikir perlu untuk membunuh bayi itu juga,” katanya.

Beliau berkata, wanita yang memiliki sejarah keluarga menghidap PND berisiko tinggi mengalaminya. Faktor lain yang mendedahkan wanita kepada PND ialah tekanan akibat kematian keluarga terdekat secara tiba-tiba, kesakitan, masalah kewangan, konflik perkahwinan seperti perceraian, ditinggalkan suami dan didera secara fizikal, seksual atau emosi.

“Ibu muda lebih berisiko tinggi mengalami PND disebabkan kekurangan kemahiran keibuan. Sesetengah bapa muda juga berisiko mengalami PND. Justeru menghadiri kelas antenatal amat penting sebagai persediaan menjadi ibu bapa.

“Bagaimanapun harus diingatkan, belajar menjadi ibu bapa adalah satu proses yang berterusan sepanjang hayat. Ibu yang ingin cepat mendapatkan semula bentuk badan selepas bersalin juga berisiko mengalami kemurungan. Ini disebabkan kepentingan semasa tidak diubahsuai mengikut keadaan hidup yang baru,” katanya.

PND juga boleh berlaku akibat kehamilan yang tidak diingini. Misalnya hamil semata-mata kerana desakan keluarga yang inginkan pasangan berkenaan mendapat anak segera. Selain itu keadaan bayi yang cacat, tidak sempurna dan tingkah laku anak yang terlalu aktif juga boleh menimbulkan tekanan kepada ibu.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi mengelakkan PND, suami hari ini perlu memainkan peranan membantu meringankan beban isteri yang masih di dalam pantang.

“Biarkan isteri banyak berehat selepas bersalin dengan membantu mereka melakukan kerja rumah dan menguruskan bayi yang masih kecil. Tiada maknanya suami mendabik dada, berbangga kerana memiliki bayi tetapi dalam masa sama isteri pula menderita akibat tertekan.

“Suami seharusnya lebih bersabar dan tunjukkan rasa kasih kepada isteri dengan membelai atau mendakapnya. Kalau boleh dapatkan bantuan keluarga terdekat ketika tempoh berpantang,” katanya.

Beliau berkata, PND tidak boleh dibiarkan sebaliknya perlu dirawat secepat mungkin kerana boleh mempengaruhi pembesaran anak. Ada kes ibu yang tidak dirawat tetapi masih terus mengandung sehingga memperoleh empat anak tetapi anaknya itu didapati mempunyai masalah tingkah laku.

“Selain kaunseling, penghidap diberikan ubat hormon dan ubat anti kemurungan yang selamat untuk penyusuan ibu. PND boleh dipulihkan jika dirawat. Seperkara penting yang harus diingat ialah PND bukanlah satu kelemahan yang dialami wanita atau tiada lagi harapan untuk memulihkannya kerana ia adalah masalah biasa yang boleh diselamatkan.

“Pasangan perlu faham bahawa memiliki anak bukan saja menggembirakan, tetapi juga meletihkan. Justeru, kerjasama suami amat diperlukan bagi mengurangkan beban si isteri,” katanya.

FAKTA
Kemurungan selepas bersalin

PND adalah masalah psikologi yang menyerang wanita dan menyebabkan mereka kehilangan mood dan kemurungan selepas melahirkan bayi.

Tanda dan gejala umum

Kemurungan, kesedihan, hilang minat terhadap sesuatu seperti selera makan dan seks, kesunyian, putus harapan, gelisah dan ingin membunuh diri.

Apa boleh dilakukan

  • Dapatkan rawatan segera.
  • Banyakkan berehat.
  • Tidur lebih kerap.
  • Amalkan pengambilan makanan normal (pantang keterlaluan mungkin tidak sesuai).
  • Babitkan pasangan anda dalam tugas menguruskan rumah tangga dan bayi.
  • Luangkan masa untuk diri sendiri.
  • Dapatkan kumpulan sokongan terutama ahli keluarga terdekat.Apa yang suami boleh lakukan
  • Bersabar
  • Beri galakkan pada isteri dengan cuba memahami perasaannya.
  • Jangan mudah kecil hati dengan tingkah laku isteri.
  • Dapatkan bantuan ahli keluarga terdekat atau rakan.
  • Beritahu dan tunjukkan anda sayangkannya.
  • Bantu isteri melakukan kerja rumah dan menguruskan bayi.
  • Jangan kritik isteri.
  • Sumber:Berita Harian