~memberi ubat kepada kanak-kanak~

Bayi dan kanak-kanak memang sering diserang penyakit yang menyebabkan mereka kerap dibawa berjumpa doktor untuk mendapat rawatan. Sebagai contoh, sewaktu menjelang usia tiga tahun, seorang kanak -kanak mungkin telah diserang batuk selesema sebanyak 20 kali, lelah dua kali, cirit -birit 2 kali, cacar air (chicken pox) sekali, sakit merah mata (conjunctivitis) sekali, jangkitan kulit (impetigo) sekali dan jangkitan tekak dua kali. Dari sini kita dapat bayangkan bagaiman kerapnya kanak -kanak itu dijangkiti penyakit dan terpaksa memerlukan rawatan doktor dari semasa ke semasa.

Tidak semua penyakit yang dihadapi oleh kanak-kanak boleh dirawat. Adakalanya, ubat yang diberikan hanyalah untuk mengurangkan tanda-tanda yang mengiringi penyakit itu seperti demam, cirit-birit, pening, sakit kepala, muntah-muntah, gatal-gatal dan sebagainya. Umpamanya, seorang kanak-kanak telah menghidap demam selesema akibat jangkitan virus. Ubat yang diberi bukanlah untuk membunuh virus tersebut tetapi hanya untuk mengurangkan demam atau batuk selesema menyebabkan bayi atau kanak-kanak itu tidak mahu makan dan kelihatan sakit.

Merawat bayi dan kanak-kanak tidak sama seperti merawat orang dewasa. Orang dewasa bertanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri dan akan mengambil ubat yang dibekalkan oleh doktor apabila jatuh sakit.

Tetapi, dalam hal merawat bayi dan kanak-kanak, doktor memerlukan kerjasama pihak ibu bapa. Jika ibu bapa tidak faham, tidak yakin, cuai atau ingkar terhadap arahan-arahan doktor, ini akan menjejaskan usaha merawat bayi atau kanak-kanak itu. Doktor bertanggungjawab untuk menerangkan kepada ibu bapa tentang penyakit yang dihadapi oleh anak mereka. Beliau juga perlu menjelaskan pendekatan yang dipilih untuk merawat si anak itu serta jenis-jenis ubat yang digunakan termasuk juga kesan-kesan sampingan yang perlu ibu bapa berikan perhatian. Kerjasama pihak ibu bapa perlu diperoleh untuk meneruskan program rawatan yang telah dirangka.

Dos ubat yang digunakan untuk bayi dan kanak-kanak semestinyalah lebih rendah daripada yang digunakan oleh orang dewasa. Ada ubat yang digunakan untuk tempoh beberapa hari sahaja dan ada untuk satu hingga dua minggu, berbulan-bulan atau seumur hidup. Ubat terdapat dalam bentuk sirap atau tablet dan diberikan dalam bebagai-bagai cara. Ada yang dilakukan secara suntikan, secara enema (memasukkan ubat melalui dubur), secara sedutan (aerosol) atau secara titik kedalam hidung, telinga atau mata. Masalah yang paling besar dihadapi oleh doktor ialah compliance, iaitu memastikan yang si anak itu diberi ubat mengikut dos yang disarankan pada setiap masa yang ditentukan. Jika di wad, pemberian ubat seperti yang disarankan kerana terlupa, kurang yakin terhadap ubat tersebut atau kerana si anak berdegil tidak mahu makan ubat dan sebagainya.

Kanak-kanak tetap berbeza walaupun menghidap penyakit yang sama. Ciri-ciri peribadi, personaliti ibu bapa, keadaan di rumah dan cara gaya keibubapaan adalah berbeza antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Doktor perlulah menyesuaikan pendekatan yang digunakan untuk merawat setiap kanak-kanak itu. Apabila merawat seseorang kanak-kanak, doktor perlulah menggunakan kecekapannya berkomunikasi dengan ibu bapanya. Seringkali, pihak ibu bapa salah faham tentang bentuk rawatan yang disarankan oleh doktor. Kita ambil beberapa contoh kes untuk menggambarkan bagaiman salah faham boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak.

KES 1
Seorang bayi perempuan telah dibawa klinik kerana diserang ruam lampin. Doktor menyarankan agar ibunya menyapukan sejenis krim steroid tiga kali sehari selama lima hari berturut-turut. Ruam tersebut telah sembuh dengan cepatnya tetapi berulang-ulang kembali. Ibu tersebut yakin dengan krim yang digunakan lalu membelinya sendiri di kedai ubat. Dia telah cuba merawat bayinya tanpa mendapatkan nasihat doktor sehingga usia bayi itu meningkat 20 bulan. Dalam masa itu, bayinya telah menjadi gemuk, pendek mukanya semakin bulat jika dibandingkan dengan bayi-bayi yang sebaya dengannya. Bayi tersebut telah mengidap merah dan gatal-gatal kulit pada bahagian lampin menyebabkan dia tidak dapat tidur malam. Si ibu mula berasa bimbang lalu membawa anaknya kelinik semula. Doktor yang memeriksa telah dapat mengagak bahawa keadaan ini disebabkan oleh penggunaan krim steroid yang berlanjutan sehingga membawa kepada keadaan yang dinamakan steroid toxicity. Anak ini telah dimasukkan kewad untuk mendapatkan rawatan yang lebih rapi bagi mengawal penyakit kulitnya serta memastikan yang keadaan ini tidak ada kaitan dengan penyakit-penyakit lain. Kes ini menunjukkan bagaimana penggunaan ubat tanpa nasihat doktor boleh menimbulkan masalah.

KES 2
Ali yang berusia empat bulan telah dibawa berjumpa doktor kerana menghidap penyakit kulit. Dia telah disahkan menghidap kudis buta (scabies) dan dibekalkan ubat krim gamaxane untuk disapukan ke seluruh badannya sekali sahaja. Seisi keluarganya telah juga mendapat rawatan yang sama. walaupun bagaimanapun, bapanya telah menyapukan krim itu setiap hari kerana difikirkan penyakit anaknya masih tidak sembuh. Mujurlah, pada hari yang keempat dia telah dibawa anaknya berjumpa doktor yang sama yang telah mengarahkan supaya penggunaan ubat itu diberhentikan.

Krim gamaxene hanya perlu disapukan sekali sahaja dan berupaya membunuh hama yang menyebabkan penyakit kudis buta itu. Ubat lain boleh diberi kepada Ali untuk menghilangkan gatal-gatal tersebut. Jika doktor dan bapa Ali berkomunikasi dengan lebih rapat lagi, masalah ini akan dapat diatasi dari awal-awal lagi. Apa yang dikhuatirkan kulit bayi amat nipis dan penggunaan krim tanpa mengikut peraturan yang telah ditetapkan boleh membawa kemudaratan. Laporan luar negeri menunjukkan bahawa ada bayi yang mengalami kerosakkan otak akibat terlalu banyak menggunakan krim ini. Walaupun hanya beberapa orang sahaja daripada lebih sejuta yang menerima rawatan mengalami keadaan ini, ia tetap perlu diberikan perhatian.

KES 3
Seorang kanak-kanak berusia enam tahun telah disahkan menghidap sejenis sawan. Dia telah diberikan ubat pencegah sawan, dilatin dan telah dirawat di wad. Selepas beberapa hari, sawannya telah dapat dikawal. Sirap dilatin telah dibekalkan untuk dibawa pulang. Selepas dua minggu, ibunya telah membawa dia berjumpa doktor sekali lagi kerana sawannya datang kembali dengan kerap sekali. Apabila ditanya tentang cara pemberian ubat, jelaslah bahawa si ibu tidak menggoncangkan botol sebelum memberikan ubat itu seperti yang disarankan oleh doktor. Setelah dia berbuat demikian, sawan anaknya telah berkurangan. Si ibu mungkin merasakan bahawa perkara seperti menggoncangkan botol sebelum memberi ubat kepada anaknya tidak penting. Jika botol tidak digoncangkan, ubat berkenaan menjadi kurang berkesan untuk merawat penyakit yang dialami. Sirap yang dituangkan ke dalam camca kurang padat dengan ubat dilatin menyebabkan si anak tidak mendapat dos yang mencukupi.

KES 4
Azam yang berusia lima tahun telah dibawa berjumpa pakar kanak-kanak kerana tubuhnya didapati terlalu pendek bagi usianya. Dia juga didapati terencat akal. Dari riwayat yang telah diperoleh, jelas bahawa pada usia lapan bulan, dia telah dikenal pasti mengalami keadaan yang dinamakan congenitl hypotthyroidism dan rawatan menggunakan ubat hormon tiroksida diberikan. Doktor pakar di Kuantan telah merawatnya selama empat tahun si anak tidak mendapat bekalan tiroksina yang amat penting bagi pertumbuhan dan perkembangan inteleknya. Wajahnya pada ketika itu menunjukkan ciri kanak -kanak yang menghidap congenital hypothyroidism. Selepas beberapa bulan ubat ini diberikan semula, wajahnya mula kelihatan lebih sempurna dan tubuhnya kelihatan lebih tinggi. Tetapi, prestasi inteleknya hanya setaraf dengan kanak -kanak yang berusia satu setengah tahun sahaja. Dia cuma boleh menuturkan dua atau tiga patah perkataan sahaja. Keadaan ini amat menyedihkan kerana dia sudah pasti akan mempunyai susuk tubuh yang lebih tinggi, wajah yang lebih sempurna serta prestasi intelek yang lebih baik jika bekalan ubat tiroksina itu tidak terputus sebegitu lama.

KES 5
Sara berusia lima tahun dan menghidap penyakit lelah. Dia sering batuk pada waktu malam menyebabkan dia tidak dapat tidur nyenyak. Dia telah diberikan beberapa jenis ubat untuk melegakan lelahnya tetapi pakar kanak-kanak yang merawatnya telah mencadangkan penggunaan sejenis ubat dalam kumpulan theophyline. Dari pengalaman pakar tersebut, ubat ini adalah mujarab untuk mengurangkan batuk pada waktu malam. Dia telah berpesan pada ibu bapa Sara supaya berhubung balik melalui telefon jika ada apa-apa masalah. Pada keesokan hari, bapanya telah menelefon pakar tersebut menyatakan anaknya sakit perut dan tidak dapat tidur malam. Pakar kanak-kanak itu telah menyuruh bapa sara menghentikan pemberian ubat tersebut untuk sementara waktu dan membawa anaknya ke klinik semula jika sakit perutnya tidak reda. Kebetulan, sakit perut anak itumula reda dari sibapa telah membuat temujanji untuk berjumpa doctor sekali lagi pada lain hari.

KES 6
Seorang bayi berusia lapan bulan dibawa oleh ibunya ke klinik kerana matanya merah. Doktor telah menyarankan rawatan bunat titik. Dua hari kemudian, si ibu telah membawa anaknya kelinik semula kerana mendapati kedua-dua belah mata anaknya bernanah. Apabila di soal ibunya telah menyatakan bahawa dia sebenarnya tidak berjaya menitikan ubat ke mata anaknya. Bayi itu telah dimasukkan ke wad untuk rawatan yang lebih agresif dan penyakit matanya mula reda setelah ubat titik digunakan. Ibunya berasa lebih yakin setelah ditunjuk ajar oleh jururawat. Rawatan seterusnya dapat dilakukan dirumah.

KES 7
Seorang bayi lelaki yang berusia empat bulan telah dibawa oleh ibunya ke klinik kerana menghidap batuk selesema. Doktor telah memberikan ubat batuk dan bayi itu telah sembuh dalam masa tiga hari. Tetapi hampir sebulan kemudian, batuknya berulang kembali dan si ibu telah menggunakan ubat lama yang masih ada lagi di rumahnya untuk merawat batuk anaknya itu. Batuk bayi itu tidak reda; sebaliknya menjadi semakin teruk. Tiga hari kemudian,si ibu membawa anaknya ke klinik semula. Doktor mengesyaki bayi tersebut menghidap batuk kokol (whooping cough) dan telah memasukkannya ke wad untuk mendapatrawatan intensif. Doktor mendapati bahawa bayi itu hanya mendapat satu dos perlalian sahaja untuk mencegah penyakit kokol. Oleh itu, dia masih lagi belum mendapat perlindungan yang mencukupi. Ibu itu tidak sepatutnya bertindak merawat bayinya sendiri sehingga menyebabkan rawatan untuk penyakit kokol oleh doktor dilengahkan.

Kekurangan hormon tiroksina di dalam tubuh bayi akan menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan inteleknya. Setiap kanak-kanak yang telah dikenal pasti mengalami masalah kekurangan hormon ini perlu mendapatkan bekalan ubat seumur hidup dan memerlukan penilaian pakar dari semasa kesemasa untuk memastikan ubat yang diberikan mencukupi bagi pertumbuhan perkembangan inteleknya. Di sini, saya ingin membentangkan satu kes benar yang tidak seharusnya berlaku jika ibu bapa faham tentang masalah ynga timbul dan mendapat nasihat doktor dari semasa kesemasa.

Hubungan di antara ibu bapa dan doktor amatlah penting dan bukan sahaja akan menyenangkan hati ibu bapa malah doktor juga. Kes dibawah menunjukkan bagaimana hubungan rapat di antara ibu bapa dan doktor boleh mengatasi perasaan khuatir ibu bapa.

Penggunaan antibiotik
Antibiotik digunakan untuk membunuh kuman bakteria. Ibu bapa sering berasa khuatir kalau-kalau anak mereka diberikan terlalu banyak antibiotik dan sering bertanya sendiri sama ada amalan ini sihat atau tidak. Kanak-kanak tidak seharusnya diberikan rawatan antibioyik setiap kali dia menghidap penyakit virus selesema. Anatibiotik tidak akan membunuh kuman bakteria tetapi doktor mungkin menyarankan penggunaan anatibiotik jika penyakit si anak itu kelihatan teruk. Penyakit lembam tonsil, lembam tekak atau sakit telinga boleh disebabkan oleh kuman bakteria atau virus.

Kadangkala sukar untuk membezakan antara satu penyakit dengan yang lain. Ujian makmal untuk mengenal pasti virus dan bakteria memakan masa dan juga menelan belanja yang tinggi. Oleh itu kadangkala doktor perlu menggunakan budi bicaranya untuk memutuskan sama ada antibiotik perlu digunakan atau tidak. Penggunaan antibiotik bergantung pada pernilaian doktor keatas keadaan bayi atau kanak-kanak tersebut. Risiko kesan sampingan antibiotik perlu sentiasa dipertimbangkan. Jangka masa antibiotik digunakan serta kosnya juga perlu diambil perhatian. Rasional penggunaan antibiotik perlu dijelaskan kepada ibu bapa supaya mereka dapat mematuhi arahan doktor. Seringkali, antibiotik yang dibekalkan tidak diberi kepada pesakit. Ini bukan sahaja membazir malah boleh meyebabkan kuman bakteria pada tubuh badan si anak itu lali terhadap antibiotik itu.

Keputusan menggunakan antibiotik akan dibuat oleh doktor setelah menimbangkan setiap faktor yang berkaitan dengan sesuatu penyakit yang dirawat.

Kesimpulan
Peranan ibu bapa amat penting bagi menjayakan rawatan ke atas kanak-kanak. Mereka perlu mendapatkan penjelasan daripada doktor supaya dapat memahami penyakit yang dihidapi oleh anak mereka dan program rawatan yang disarankan. Dengan ini, ibu bapa akan dapat meneruskan program rawatan anak dirumah. Komunikasi yang rapat diantara ibu bapa dan doktor amat penting kerana ini boleh mengelakkan berbagai-bagai masalah yang boleh mengakibatkan pembaziran tenaga, masa dan wang.

Sumber : Forwarded Email (http://www.hamidarshat.com)

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: