~didik anak bersolat~

LAPORAN mengenai lebih 51,000 pelajar tahun dua hingga enam di Terengganu yang tidak tahu bersolat, Sabtu lalu amat membimbangkan kita. Apatah lagi sebagai penduduk Malaysia yang mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi. Lebih menggusarkan ialah angka itu mungkin meningkat berkali ganda jika kajian yang sama dilakukan di negerinegeri lain. Di mana silapnya sehingga berlaku sedemikian. Malaysia sudah mengamalkan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara sejak 1985 lagi. Secara logiknya, tidak patut timbul masalah tidak tahu solat dalam kalangan umat Islam di negara yang kita sayangi ini.

Dalam mencari penyelesaian kepada isu ini kita tidak dapat lari daripada membicarakan peri pentingnya ibu bapa memainkan peranan melahirkan generasi anak soleh dan solehah. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah (bersih), ibu bapanya yang mencorakkan sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Peraturan

Hadis ini jelas meletakkan tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mematuhi ajaran Islam terutamanya solat yang menjadi Rukun Islam kedua. Islam telah meletakkan peraturan yang cukup sempurna seperti dalam Rukun Islam. Contohnya, selepas mengucap dua kalimah syahadat, kita perlu menunaikan ibadat harian iaitu solat lima waktu sehari semalam.

Ia diikuti dengan ibadat sebulan dalam setahun iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan, ibadat zakat yang ditunaikan setahun sekali dan akhirnya ibadat yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup iaitu menunaikan haji bagi mereka yang mampu.

Solat ini pula disebut sebagai tiang agama sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w., “Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka ia telah meninggalkan agama.” (riwayat Al-Baihaqi)

Sebagai ibu bapa, kita seharusnya melatih anak-anak bersolat. Caranya, ialah kita sendiri perlu menunjukkan contoh kepada anak-anak dalam kehidupan seharian. Penegasan tentang kepentingan tanggungjawab ini amat jelas menerusi sabda Rasulullah s.a.w, “Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang sejak umurnya tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak sembahyang.” (riwayat at-Tirmidzi)

Muslim yang tidak solat dikhuatiri cenderung melakukan maksiat kerana hati mereka tidak diisi dengan ayat-ayat Allah. Lantas tidak timbul rasa gerun dan takut tentang peringatan azab Allah ke atas mereka yang meninggalkan solat. Sebab itu, ada individu yang tidak berasa takut melakukan maksiat. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam firmannya, solat itu dapat mencegah kepada perbuatan keji dan mungkar. (Al-Ankabut: 45)

Dengan kata lain, solat dapat mengatasi pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam negara baik masalah keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja sehinggalah masalah jenayah seperti bunuh, rompak dan sebagainya.

Namun, jika generasi kanak-kanak tidak dilatih bersolat, adalah dibimbangi jiwa mereka yang ‘kosong’ itu akan dipenuhi oleh hasutan syaitan yang mengajak manusia melakukan kejahatan dan kemusnahan. Nauzubillah.

Ibu bapa mesti menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak termasuklah dalam bab ibadat khusus seperti solat. Sepatutnya, kita sentiasa menseimbangkan pendidikan agama dan pendidikan akademik kerana kita mahu melahirkan anak yang cemerlang bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Ini penting kerana hubungan kita dengan anak-anak yang menjadi perhiasan dunia ini bukan tamat selepas kematian kita. Sebaliknya, anak-anak soleh dan solehah yang ditinggalkan itu mampu memberi bantuan kepada ibu bapa yang meninggal dunia. Ia melalui doa yang mereka pohon kepada Allah. Ini dinyatakan oleh Rasullullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud, “Apabila matinya anak Adam itu terputuslah baginya segala amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang soleh.” (Riwayat Muslim)

Namun, jika anak tidak dididik, bagaimana kita boleh menaruh harapan mendapat bantuan atau pertolongan daripada mereka selepas kematian kita kelak. Berapa ramai anak-anak yang tidak dibekalkan dengan iman porak-peranda kerana berebutkan harta ibu bapa yang mati seperti yang kita saksikan dalam filem ‘Tiga Abdul’ arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Berapa ramai juga anak-anak lelaki yang hanya mampu duduk di tepi pintu menangisi kematian ibu atau bapa mereka kerana tidak tahu menunaikan solat jenazah yang amat mudah dilaksanakan. Sedangkan solat itu adalah antara kebajikan terakhir yang boleh dilakukan oleh anak sebagai tanda kasih kepada ibu bapa.

Perkara-perkara begini seharusnya menimbulkan kesedaran kepada golongan ibu bapa agar memberi lebih perhatian dalam bab fardu ain. Jangan melepaskan tanggungjawab itu kepada guru-guru agama atau ustaz dan ustazah sahaja. Analoginya, adalah lebih mudah bagi anak-anak meniru perbuatan ibu bapa yang menunaikan solat di rumah.

Amalan

Apa salahnya, sekali-sekala ditunai solat berjemaah di rumah bersama isteri dan anak-anak. Bagi yang telah mumaiyiz, bolehlah mereka dibawa ke surau atau masjid untuk melatih mereka sama-sama solat berjemaah. Semua ini penting kalau kita mahu melihat zuriat kita menjadi orang yang berguna di dunia dan akhirat. Seperkara yang tidak kurang penting ialah amalkan membaca al-Quran di rumah kerana amalan tersebut boleh membawa ketenangan dan rahmat kepada penghuninya.

Di akhirat kelak, Allah telah menegaskan yang solat menjadi persoalan utama semasa kita dihisab sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,, “Sesungguhnya perkara pertama yang dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyangnya, jika sembahyang itu sempurna maka beruntunglah dia, sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah ia, kalau kewajipannya yang perlu masih kurang Allah berfirman, “lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut”. Demikianlah seterusnya amalan yang lain.” (riwayat at-Tirmidzi).

Dalam dunia globalisasi yang penuh pancaroba ini, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai sistem pertahanan agar mampu menangkis sebarang cabaran yang mendatang. Konsep langit terbuka berikutan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membolehkan kita memperoleh maklumat menerusi internet di hujung jari. Itu belum termasuk dengan pelbagai saluran televisyen yang boleh ditonton melalui saluran berbayar.

Islam tidak menghalang kemajuan kerana semua perkembangan dan kemajuan teknologi boleh dimanfaatkan jika ia digunakan dengan betul tetapi alat untuk menentukan baik atau buruknya ialah iman. Iman itu pula bukan mudah diperolehi seperti lirik lagu kumpulan Raihan, ‘iman tak boleh dijual beli-iman tidak boleh diwarisi’. Sebaliknya ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan istiqamah sebelum individu itu boleh digelar Mukmin.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Ciri-ciri Masyarakat Islam yang Kita Idamkan memetik kata-kata Imam Syahid Hassan al-Banna tentang kesan solat ke atas aspek sosial masyarakat.

Katanya, kesan solat bukan hanya terbatas kepada individu sahaja sebaliknya ia adalah sistem yang lengkap meliputi pendidikan umat yang komprehensif. Solat dengan pergerakan jasmani serta waktunya yang teratur amat bermanfaat kepada tubuh badan. Dalam segi kerohanian, zikir-zikirnya, bacaan-bacaan serta doa-doanya amat baik untuk melatih jiwa serta melentur emosi.

“Bacaan di dalam solat (al-Quran merupakan sistem pengetahuan yang tinggi lagi lengkap) menyajikan akal dan membukakan minda terhadap banyak hakikat ilmu dan pengetahuan. Lantas, wujudlah insan yang keluar dari solat tersebut sebagai insan yang tekun, sihat tubuh badannya, lembut perasaannya dan penuh akalnya,” kata Imam Syahid Hassan.

Lagipun, pepatah Melayu ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jadi, kepada ibu bapa apa lagi yang mahu ditunggu. Sebaiknya, kita menggunakan masa yang ada sekarang untuk mendidik anak-anak kita beribadat agar mereka menjadi masyarakat yang cemerlang di masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia

About these ads

3 Responses to ~didik anak bersolat~

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: